BRUSSELS: Air mineral dari beberapa negara Eropah didapati tercemar dengan asid trifluoroasetat (TFA), sejenis bahan kimia kekal yang diklasifikasikan sebagai toksik kepada sistem pembiakan manusia.
Menurut Utusan Malaysia, bahan kimi itu dilaporkan sedang terkumpul pada kaadar membimbangkan di seluruh dunia.
Pencemaran ini dipercayai berpunca daripada penggunaan meluas racun perosak yang mengandungi TFA atau sebatian yang bertukar menjadi bahan tersebut dalam persekitaran.
Kajian oleh Pesticide Action Network Europe (PAN Europe) menemukan TFA dalam 10 daripada 19 sampel air mineral yang diuji, dengan tahap pencemaran mencecah 32 kali ganda lebih tinggi daripada had yang sepatutnya mencetuskan tindakan kawal selia di Kesatuan Eropah (EU).
“Ini adalah isu yang serius kerana kita sebenarnya sedang meminum TFA.
“Pencemaran ini jauh lebih meluas daripada apa yang kami jangka,” kata Angeliki Lysimachou, salah seorang penulis kajian dari PAN Europe.
Beliau juga menegaskan pengeluar air mineral tidak boleh dipersalahkan kerana isu ini di luar kawalan mereka.
TFA, sejenis bahan kimia yang sangat sukar diuruskan, memiliki mobiliti tinggi dan jangka hayat yang panjang dalam persekitaran.
TFA juga sering digunakan sebagai bahan pendingin yang kononnya lebih selamat menggantikan gas rumah hijau seperti CFC, namun kajian terkini mendapati ia adalah gas rumah hijau yang kuat dan mampu kekal di atmosfera sehingga 1,000 tahun.
Dari 2019 hingga 2022, kira-kira 60 peratus pengeluaran PFAS dunia terdiri daripada gas berfluorin yang bertukar menjadi TFA.
Di samping itu, kira-kira 40 peratus bahan aktif yang digunakan dalam racun perosak di Amerika Syarikat (AS) mengandungi PFAS, termasuk TFA, yang dipercayai berfungsi sebagai penstabil atau untuk meningkatkan keberkesanan racun perosak tersebut.
Kajian terdahulu menunjukkan TFA terdapat dalam 93 peratus daripada lebih 600 sampel air di Belgium, dengan tahap tinggi di kawasan pertanian.
Di Switzerland, TFA ditemui secara meluas dalam air bawah tanah, manakala di Michigan, AS, semua sampel air hujan yang diuji mengandungi bahan kimia tersebut.
Sebaliknya, Suruhanjaya EU kini mencadangkan larangan ke atas dua jenis racun perosak yang mengandungi TFA dan berpotensi mengklasifikasikan bahan itu sebagai toksik kepada sistem pembiakan.
































