Keadaan kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam nahas pagi tadi.
KOTA KINABALU: Siasatan polis mendapati kecuaian pemandu menjadi punca kemalangan maut melibatkan dua kenderaan di Jalan Lintas, berhampiran Maimunah Cybercity, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, hasil siasatan menunjukkan kemalangan tersebut berpunca daripada pemandu kenderaan Perodua Myvi yang cuai semasa memandu sehingga hilang kawalan, lalu terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah kenderaan Toyota Camry.
Beliau memaklumkan bahawa pada 11 Disember 2024, kira-kira jam 5.45 pagi, pihak polis menerima laporan daripada anggota bertugas, Lans Korporal Shahrilazmin, mengenai kemalangan jalan raya melibatkan dua kenderaan berhampiran Maimunah Cybercity, Jalan Lintas, Kota Kinabalu.
“Siasatan awal di lokasi mendapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah Toyota Camry dan sebuah Perodua Myvi. Insiden berlaku apabila kenderaan Perodua Myvi terbabas dan memasuki laluan bertentangan, mengakibatkan perlanggaran dengan Toyota Camry,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa siasatan lanjut mendapati kenderaan Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 20-an sedang bergerak dari arah Kobusak menuju Putatan. Ketika tiba berhampiran Speed Car Wash, Cybercity Jalan Lintas, pemandu tersebut cuba membuat pusingan-U. Namun, kenderaan itu hilang kawalan, melanggar pembahagi jalan, dan terpelanting ke laluan bertentangan.
“Dalam masa yang sama, sebuah Toyota Camry yang dipandu oleh seorang wanita berusia 40-an sedang bergerak dari arah KKIA menuju Lido. Perlanggaran berlaku apabila kenderaan Myvi tersebut memasuki laluan Camry,” katanya.
Akibat kemalangan tersebut, pemandu Toyota Camry mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas.
“Hasil siasatan mendapati pemandu Perodua Myvi cuai dalam pemanduannya sehingga hilang kawalan, terbabas, dan merempuh kenderaan Toyota Camry,” tambahnya.
Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa memandu dengan berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas.


































