Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, ucapan Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan yang menekankan prinsip “Rumah Kita, Kita Jaga” bukanlah berunsur hasutan seperti yang didakwa, sebaliknya bertujuan menguatkan semangat perjuangan anak muda Sabah dalam mempertahankan hak mereka.
Beliau dengan tegas membidas reaksi Ketua UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin terhadap ucapan Dr. Jeffrey, yang juga Timbalan Ketua Menteri I dan Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pelancaran Jentera Pemuda GRS di sini Ahad lalu.
“Prinsip ini menyeru pemuda agar sentiasa berwaspada terhadap pihak-pihak yang cuba merampas hak mereka, termasuk ‘musuh dalam selimut’. Persoalannya, mengapa Bung begitu tersinggung dengan kenyataan ini? Adakah secara tidak langsung beliau mengakui bahawa UMNO adalah ancaman kepada Kerajaan Negeri Sabah?” kata Nizam dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebagai ahli politik yang berpengalaman, tidak wajar bagi Bung menyerang Dr. Jeffrey secara peribadi dengan mengungkit perjalanan politiknya yang penuh liku.
“Apa kaitan perjalanan politik seseorang pemimpin dengan isu ini?
“Sebagai seorang pemimpin yang pernah menjadi sebahagian daripada Kerajaan GRS dan menang di DUN Lamag serta Parlimen Kinabatangan atas sokongan ahli-ahli GRS, Bung sepatutnya menyokong prinsip “Rumah Kita, Kita Jaga.”
“Namun, nampaknya beliau masih sukar menerima hakikat bahawa era Barisan Nasional (BN) sudah berlalu. Kini adalah era GRS, dengan misi yang jelas dan perjuangan rakyat Sabah yang dipacu oleh Plan Sabah Maju Jaya.
“Bung juga harus sedar bahawa rakyat Sabah kini semakin memberi sokongan kepada parti tempatan yang memahami keperluan dan aspirasi mereka.
“Serangan beliau terhadap prinsip “Rumah Kita, Kita Jaga” hanya menonjolkan keresahan beliau dan UMNO terhadap sokongan rakyat yang semakin berkurangan,” ujarnya.
Nizam yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Biro Penerangan GRS berkata, seperti yang dinyatakan Dr. Jeffrey, rakyat Sabah perlu bersatu dengan pemimpin untuk menolak kaedah pecah dan perintah yang telah merosakkan pembangunan, ekonomi dan sosial negeri ini selama puluhan tahun di bawah pentadbiran UMNO.
“Dr. Jeffrey berhujah berasaskan fakta, bukan retorik politik. Bung, sebagai wakil Parlimen Kinabatangan selama beberapa penggal, pastinya sedar kawasan tersebut masih mundur dan daif.
“Ini adalah bukti jelas kegagalan model pentadbiran yang beliau wakili.
“Lebih mengejutkan, Bung memberikan kepercayaan kepada rakaman video yang meragukan dan jelas memiliki motif politik.
“Adakah Bung sebahagian daripada komplot ini sehingga bertindak menjadi pendakwa dan hakim sekaligus?”
Katanya, sebagai pemimpin, Bung seharusnya lebih bijak memahami bahawa mana-mana rakaman video, audio atau gambar yang telah disunting dan tidak memiliki kredibiliti tidak akan diterima sebagai bukti di mahkamah.
“Adalah lebih baik beliau sendiri fokus dengan tuduhan mahkamah yang sedang dihadapinya.
“Oleh itu, nasihat saya kepada Bung adalah supaya tidak menjaga tepi kain orang, fokus pada isu sebenar, dan patuh pada undang-undang negara tanpa membuat tuduhan melulu.”


































