Fahmi Fadzil ketika sidang media pada program Jelajah Peduli Ummah Lembah Pantai di IWK Eco Park, Pantai Dalam.
KUALA LUMPUR: Pindaan terbaru terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) membawa perubahan besar kepada negara ini khususnya dalam usaha menangani kesalahan berkaitan pedofilia dan penjualan pornografi dalam talian.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pindaan yang melibatkan 51 muka surat itu merupakan langkah signifikan selepas 26 tahun akta tersebut dikuatkuasakan.
“Dua perkara penting yang diperkenalkan ialah menjadikan pedofilia dan penjualan pornografi dalam talian sebagai kesalahan boleh tangkap (seizable offenses).
“Ini memastikan pihak berkuasa dapat bertindak lebih tegas terhadap penjenayah yang memusnahkan masa depan kanak-kanak,” katanya dalam satu sidang media selepas program Jelajah Peduli Ummah Lembah Pantai di sini kelmarin.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa pindaan turut memperincikan definisi kesalahan dalam Seksyen 233, termasuk menggantikan istilah ‘jelek’ dengan ‘jelek melampau’.
Langkah ini bertujuan melindungi kebebasan bersuara rakyat Malaysia tanpa menjejaskan ketertiban undang-undang.
“Huraian yang dimasukkan kali ini akan membantu pihak kehakiman, pendakwaan, dan pembelaan mentafsir undang-undang dengan lebih jelas,” katanya.
Dalam isu kawalan umur pengguna media sosial, Fahmi menegaskan Malaysia tidak bercadang untuk memperkenalkan undang-undang baharu seperti negara lain.
Sebaliknya, penekanan akan diberikan kepada pelaksanaan standard komuniti platform seperti Facebook, TikTok, dan Instagram yang menghadkan pengguna kepada mereka yang berumur 13 tahun ke atas.
“Kami mahu platform-platform ini memastikan verifikasi umur dilaksanakan dengan tegas, termasuk aplikasi seperti WhatsApp yang menetapkan had umur 16 tahun,” jelasnya.
Pindaan Akta 588 ini dijangka memberikan keseimbangan antara perlindungan keselamatan pengguna, terutama kanak-kanak, dan kebebasan bersuara di negara ini.
Sementara itu, Fahmi yang juga merupakan ahli Parlimen Lembah Pantai mengucapkan ribuan terima kasih kepada kepada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, (MAPIM) dan rakan strategiknya atas usaha menjayakan Jelajah Peduli Ummah Lembah Pantai.
“Saya ucapkan terima kasih terima kasih kepada MAPIM dan rakan strategiknya atas usaha ini.Ada Mobile Clinic, ada 500 kotak bantuan untuk asnaf dan Mobile kitchen yang disediakan beserta seribu makanan percuma sebagai simbolik penghargaan kepada komuniti,” katanya.


































