KOTA KINABALU: Sustainable Future (SF), bersama rakan strategik Borneo Sabah Energy (BSE) dan Koperasi Permodalan FELDA (KPF) sebagai syarikat bersekutu, telah melancarkan projek “Sustainable Mobility (Electric Vehicle) & Renewable Energy Solution” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Turut hadir ialah isteri Tun Juhar, Toh Puan Norlidah R.M Jasni, dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Pelancaran tersebut mencerminkan usaha bersama ketiga-tiga organisasi untuk memperkukuh agenda tenaga hijau di Sabah, sekali gus menjadi langkah penting dalam merealisasikan aspirasi negeri ini ke arah pembangunan mampan.
Pengerusi SF, Datuk Mohd. Banuri Aris berkata, sebagai peneraju teknologi mampan, SF terus komited memperkenalkan penyelesaian inovatif yang bukan sahaja mesra alam, tetapi juga menyokong pertumbuhan ekonomi.
“Dengan mengintegrasikan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dan tenaga boleh baharu, SF percaya teknologi ini adalah kunci utama untuk menangani cabaran perubahan iklim serta mengubah landskap pengangkutan di Sabah.
“Kolaborasi strategik ini, yang mendapat sokongan padu daripada Kerajaan Negeri Sabah, dijangka membawa manfaat besar, termasuk mengurangkan pelepasan karbon, meningkatkan kualiti udara dan mengurangkan pencemaran bunyi.
“Penggunaan EV yang lebih meluas bukan sahaja menjimatkan kos bagi pengguna, tetapi juga meletakkan Sabah sebagai pelopor inovasi hijau di Malaysia, sekali gus berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri dan negara secara keseluruhan,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa KPF, sebagai rakan bersekutu, memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaan projek ini memberi impak positif kepada komuniti dan ekonomi tempatan.
“Ini sejajar dengan visi SF dan BSE untuk membawa perubahan mampan melalui teknologi hijau sambil memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi.
“SF percaya pelancaran ini adalah langkah awal ke arah transformasi yang lebih besar, bukan sahaja untuk rakyat Sabah tetapi juga untuk seluruh Malaysia,” tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif BSE, Abdul Halim Sidek Gulam Hassan berkata, BSE beriltizam melestarikan persekitaran hijau dengan terlibat dalam perniagaan berlandaskan ekonomi hijau mampan, sejajar dengan penekanan Kerajaan Negeri Sabah terhadap Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Komitmen BSE adalah jelas dan telus dalam usaha ini. BSE kini bekerjasama dengan SF dalam perniagaan mobiliti hijau dengan membawa masuk EV seperti lori pengangkut, bas, pacuan empat roda, skuter dan motosikal ke Sabah.
“Sasaran utama BSE adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah.
“BSE juga akan memastikan keberadaan stesen pengecas (charging station) untuk memudahkan penggunaan kenderaan elektrik secara selesa,” katanya.
Dalam majlis tersebut, turut diadakan upacara menandatangani perjanjian antara BSE dan SF, yang disaksikan oleh Tun Juhar.
































