Awang Kadin Tang
SANDAKAN: Ahli Parlimen Libaran yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir menerima kecaman apabila didakwa gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat di kawasan Libaran, sebaliknya sibuk bermain politik dengan menyerang Kerajaan GRS-PH Plus.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Elopura, Datuk Hj. Awang Kadin Tang menegaskan bahawa Suhaimi sepatutnya memberi tumpuan kepada isu-isu mendesak rakyat seperti infrastruktur yang ketinggalan, pembangunan ekonomi yang lembap dan keperluan asas seperti bekalan air serta elektrik yang sering terganggu.
“Sebagai seorang Ahli Parlimen, beliau seharusnya menggunakan kedudukannya untuk memperjuangkan nasib rakyat Libaran di Parlimen. Bukannya sibuk mengeluarkan kenyataan politik tanpa asas, yang hanya bertujuan menutup kelemahan partinya sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Awang Kadin turut mempersoalkan integriti Suhaimi, yang dilihat mempertahankan pemimpin UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, walaupun pemimpin tersebut terpalit dengan pelbagai isu rasuah dan salah guna kuasa.
Bung Moktar kini menghadapi tiga pertuduhan rasuah bernilai RM2.8 juta melibatkan pelaburan Felcra Bhd. Mahkamah telah memerintahkan beliau dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad untuk membela diri selepas bukti kukuh berkaitan penerimaan wang rasuah daripada beberapa syarikat pelaburan ditemui.
Selain itu, Awang Kadin berkata, rekod kepimpinan Bung Moktar turut dipersoalkan apabila beliau sering dikaitkan dengan salah guna kuasa dalam pentadbiran UMNO Sabah, sambil menambah antara isu yang timbul ialah pemecatan dalaman, pelantikan politik yang kontroversi dan keengganannya berundur walaupun mendapat desakan daripada ahli partinya sendiri.
“Bagaimana Suhaimi mahu bercakap soal integriti sedangkan pemimpin yang beliau pertahankan sendiri enggan melepaskan jawatan meskipun berdepan pertuduhan rasuah? Jangan sampai rakyat melihat UMNO Sabah sebagai parti yang hanya mementingkan sandiwara politik,” tambah Awang Kadin.
Beliau menyeru agar Suhaimi turun padang dan menunjukkan komitmen dalam menyelesaikan masalah rakyat Libaran yang telah lama menunggu tindakan konkrit.
“Jangan sekadar sibuk mempertahankan Bung Moktar. Rakyat mahukan wakil rakyat yang bekerja, bukan sekadar tokoh politik yang hanya petah berbicara di media,” tegasnya.
Awang Kadin mengakhiri kenyataannya dengan peringatan tajam: “Menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri.
“Serangan politik tanpa asas tidak akan menyelesaikan masalah rakyat Libaran atau memulihkan imej UMNO Sabah yang semakin merosot.”


































