KOTA KINABALU: Sabah terus menonjol sebagai destinasi utama ekopelancongan dan pengembaraan, dengan potensi besar untuk menarik pelancong global yang mencari pengalaman autentik, kata Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Haryanty Abu Bakar.
Beliau berkata, Malaysia telah mencatatkan ketibaan 18.4 juta pelancong antarabangsa setakat September 2024, menunjukkan peningkatan sebanyak 27 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023.
“Statistik ini membuktikan potensi besar Sabah dalam menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan negara,” katanya pada acara “Industry Gathering” yang diadakan di KK Galaxy Bowl, Centre Point Sabah, di sini, hari ini.
Acara anjuran Tourism Malaysia Sabah itu bertujuan meraikan pengamal media yang telah menyokong aktiviti promosi pelancongan domestik sepanjang tahun 2024.
Seramai 40 pengamal media menghadiri acara ini, termasuk wakil daripada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Lembaga Pelancongan Sabah (STB), serta penggiat industri pelancongan di negeri ini.
Menurut Haryanty, acara ini adalah tanda penghargaan kepada media yang memainkan peranan penting dalam mempromosikan destinasi pelancongan menarik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Acara tersebut turut mendapat sokongan melalui kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan MASWings.
Haryanty turut menekankan kepentingan kerjasama erat dengan media dalam menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kempen ini mensasarkan ketibaan 35.6 juta pelancong antarabangsa dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM147.1 bilion. Selain itu, ia juga menyasarkan 261 juta pelawat domestik dengan jangkaan perbelanjaan sebanyak RM115.2 bilion,” katanya.
Beliau menambah, media adalah rakan strategik utama dalam menjayakan program fast conversion dan inisiatif berimpak tinggi Tourism Malaysia. Usaha ini termasuk kerjasama dengan syarikat penerbangan, penggunaan platform digital, serta penyertaan dalam misi jualan dan pameran pelancongan.
Acara ini diakhiri dengan aktiviti santai seperti pertandingan boling antara peserta, yang bertujuan mengeratkan hubungan antara pengamal media dan penggiat industri pelancongan.


































