
Gulam (lima dari kanan) bergambar bersama barisan pemimpin baharu YGMI Group.
KOTA KINABALU: Yayasan Gulam Modal Insan (YGMI Group) mengumumkan pelantikan beberapa pemimpin baharu untuk memperkukuhkan visi dan misi syarikat ke arah pembangunan komuniti dan ekonomi Sabah.
Bekas Timbalan Pengarah Kastam W. P. Labuan, Tuan Halun Hj Mutalib dilantik sebagai Timbalan Presiden merangkap Pengarah Perancang Ekonomi YGMI. Pelantikan tersebut diputuskan semasa mesyuarat akhir tahun YGMI Group yang diadakan pada 29 November 2024 di bilik mesyuarat UTC.
Presiden YGMI Group, Dato Seri Sh Gulam Sh Tumai, turut mengumumkan pelantikan Tuan Abdullah Yusof, Pengerusi Parlimen Kelabakan Tawau, sebagai Pengarah Konsultan baharu, dan Pesarah Timbalan Pengarah Bomba, Tuan Martin Situm, Pengerusi Parlimen Putatan, sebagai Pengarah Perdagangan YGMI.
Datin Asna Yusof pula dilantik sebagai Naib Presiden YGMI, manakala Tuan Abd Rahman dilantik sebagai Naib Presiden merangkap Pengerusi Parlimen Tawau dan Pengarah Pelancongan YGMI. Pesara PPD Tambunan, Dr Salamat Hj Ismail, diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Parlimen Keningau merangkap Pengerusi Koridor Pedalaman dan Pengarah Integriti YGMI.
Dato Seri Gulam turut mengucapkan tahniah kepada semua pelantikan baharu dan menekankan kepentingan mendekati komuniti luar bandar dan kawasan pesisir pantai seperti Pulau Banggi.
“Tahun hadapan, YGMI akan membuka pusat borong di beberapa kawasan seperti Keningau, Kinabatangan, Kudat, Pulau Banggi, dan Semporna bagi memborong hasil pertanian penduduk. Ini akan membantu memasarkan produk tempatan ke peringkat dalam dan luar negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau juga memperkenalkan konsep “Satu Rumah, Satu Ladang Organik” yang melibatkan pertanian organik, penternakan haiwan, perikanan tuna, serta sektor ekonomi lain seperti kedai runcit dan restoran. Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar.
Sebagai tambahan, YGMI Group telah menyediakan empat cadangan projek mega yang akan diajukan untuk mendapat sokongan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini membuktikan YGMI berdiri teguh di belakang kerajaan Sabah dalam merealisasikan slogan Sabah Maju Jaya,” jelas Dato Seri Gulam.
Beliau turut menyatakan rancangan untuk memperluas struktur organisasi YGMI dengan penambahan lima zon kepimpinan baharu, termasuk Koridor Pantai Barat, Zon Pantai Timur, Zon Pantai Selatan, Zon Pantai Utara, dan Zon Pedalaman.
Pengumuman ini mencerminkan komitmen YGMI dalam memajukan komuniti luar bandar serta memperkukuhkan sektor ekonomi Sabah.


































