Masiung berada di luar pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi untuk memberi keterangan susulan video tular yang dikaitkan dengannya, seperti yang dimuat naik oleh sebuah portal berita semalam.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu tiba tepat jam 9 pagi di pejabat SPRM Kota Kinabalu untuk memberi keterangan berkaitan video berkenaan.
“Kehadiran saya ke pejabat SPRM adalah sebagai komitmen untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membolehkan pihak berwajib menjalankan siasatan terperinci berhubung rakaman video tersebut,” jelasnya sejurus keluar dari pejabat SPRM pada jam 12.30 tengah hari.
Menurut Masiung, sesi tersebut berlangsung selama 2 jam 30 minit, dan beliau berpuas hati kerana dapat memberikan kerjasama sepenuhnya.
“Para pegawai SPRM sangat profesional dan berdedikasi ketika menjalankan siasatan,” tambahnya.
Masiung turut mengalu-alukan mana-mana pihak berwajib untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan yang dibuat dan berjanji akan terus memberi kerjasama penuh.
Beliau memaklumkan bahawa rakaman video berkenaan telah disunting dan diubah terlebih dahulu sebelum disiarkan.
“Rakaman video tersebut jelas tidak menggambarkan cerita sebenar kerana ia telah disunting seolah-olah cerita itu memihak kepada individu yang membuat rakaman tersebut.
“Saya bersedia untuk dipanggil SPRM pada bila-bila masa tanpa memberikan alasan seperti sakit atau sibuk dengan tugasan lain,” tegasnya.
Beliau turut berharap SPRM memanggil individu yang membuat rakaman tersebut untuk siasatan lanjut dan menyerahkan rakaman video asal perbualan itu.
Masiung mendakwa wujudnya campur tangan politik melibatkan parti pembangkang yang sengaja merancang untuk memerangkap beberapa ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai usaha menjatuhkan Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Menurutnya, beliau sudah menjangkakan tindakan sedemikian daripada pembangkang, yang berasa tergugat dengan kecemerlangan Kerajaan Negeri pimpinan Hajiji menerusi Belanjawan Sabah 2025 sebanyak RM7.421 bilion—angka yang jauh melampaui jangkaan dan tidak pernah dilakukan semasa pembangkang memerintah.
Masiung turut meminta rakyat di kawasan Kuamut yang diwakilinya supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi.






























