Fairuz Renddan
KOTA KINABALU: Kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh yang meminta Ketua Menteri Sabah supaya berundur dalam isu dakwaan rasuah melibatkan ADUN-ADUN kerajaan dilihat dangkal dan bersifat prejudis.
Menurut Ketua Pemuda PGRS, Datuk Fairuz Renddan, kenyataan ADUN dari Melaka yang disiarkan di MalaysiaKINI malam tadi juga seolah memperlihatkan kegopohan pemimpin UMNO itu untuk ‘turut serta’ dalam senario politik di negeri ini tanpa melakukan sebarang pertimbangan dan disifatkan sebagai ‘double standard’.
Beliau berkata, sebelum mencampuri urusan di Sabah, ada baiknya Dr Akmal terlebih dahulu melihat cermin dan mendesak supaya mana-mana pemimpin UMNO yang terpalit dengan isu rasuah di mahkamah supaya meletakkan jawatan mereka.
“Ketua Pemuda UMNO Malaysia jika dilihat memang ‘minta puji’ dan sering sahaja mengangkat apa-apa isu selain lapar perhatian di media sosial.
“Sebelum mendesak Ketua Menteri Sabah supaya berundur, kenapa sejak daripada dahulu, pemimpin UMNO yang sedang, pernah berhadapan dengan kes atau tuduhan rasuah di mahkamah tidak pula didesak meletakkan jawatan, contoh terdekat adalah Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin,” katanya.
Fairuz yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan berkata demikian dalam kenyataan balas beliau terhadap Dr Akmal dalam laporan MalaysiaKINI, Pemuda UMNO mahu Hajiji undur jika dakwaan rasuah ada merit.
Dalam kenyataan disiarkan, Dr Akmal pada masa sama meminta Datuk Seri Hajiji Noor berundur bagi memastikan siasatan yang adil dan bebas dibuat ke atas dakwaan tersebut, selain dan mengukuhkan lagi komitmen kerajaan negeri terhadap akauntabiliti dan ketelusan.
Pada perkembangan yang sama, Fairuz berkata, rakyat percaya dan lelah terhadap cubaan demi cubaan memburukkan kerajaan GRS dengan meletakkan hukuman di media sosial terlebih dahulu, sebelum diangkat ke muka pengadilan sewajarnya.
“Bagi saya kenapa Dr Akmal tidak mengambil pendekatan bersama SPRM untuk menunggu siasatan dan melangkaui undang-undang dengan berpaksikan mahkamah MalaysiaKini?
“Hujah mengatakan ada merit dalam penyebaran video melibatkan skandal rasuah ADUN dan Menteri GRS, kenapa perlu mendesak Ketua Menteri Sabah berundur pula? Sedangkan siasatan mengenai tuduhan dan dakwaan ini masih dilakukan pihak SPRM?
“Adakah Dr Akmal senada dengan MalaysiaKINI dan pelaku whistlebowler yang menjadikan platorm media sosial untuk menghukum, menyebar naratif negatif dan melangkaui undang-undang supaya menjadikan mereka yang terpalit dalam video tular disalahkan seratus peratus, “kata Fairuz lagi.






























