Fairuz Renddan
KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan menegaskan bahawa gesaan supaya Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor meletakkan jawatan adalah tidak berasas.
Beliau berkata, peruntukan undang-undang hanya membenarkan peletakan jawatan Ketua Menteri melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri atau peletakan jawatan secara sukarela oleh Ketua Menteri itu sendiri.
Fairuz menjelaskan bahawa tiada bukti yang menunjukkan penglibatan Ketua Menteri dalam kes rasuah seperti yang didakwa.
“Video-video yang tular di media sosial tidak menunjukkan Ketua Menteri menerima wang atau terlibat dalam sebarang salah laku. Sebaliknya, video tersebut membuktikan bahawa Ketua Menteri mengambil keputusan membatalkan Lesen Cari Gali (Prospecting Licence) kerana wujudnya pengaruh kartel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 17 November 2024, siasatan telah dimulakan terhadap kes tersebut.
“Namun, sehingga kini, Ketua Menteri tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan, membuktikan bahawa beliau tidak terlibat.
“Tambahan pula, sidang media Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 10 November 2024 mengesahkan tiada laporan dibuat terhadap ADUN Sabah berkaitan tuduhan rasuah itu,” kata Fairuz.
Fairuz turut menyatakan keyakinannya terhadap ketelusan siasatan SPRM.
Beliau merujuk kenyataan Ketua Menteri pada 12 November 2024 yang menegaskan, “We have nothing to hide.”
Beliau juga menyatakan bahawa tiada keperluan mendesak Ketua Menteri untuk meletakkan jawatan semata-mata bagi memastikan siasatan berjalan lancar.
Fairuz turut mengingatkan bahawa seorang ADUN pernah memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah walaupun sedang menghadapi perbicaraan kes rasuah melibatkan jutaan ringgit.
“Mahkamah Rayuan baru-baru ini memerintahkan ADUN tersebut untuk membela diri, namun beliau tidak pernah diminta melepaskan jawatan.”
Fairuz berkata, Pemuda Gagasan Rakyat menyatakan sokongan penuh kepada SPRM dalam menjalankan siasatan secara adil dan bebas.
Beliau juga menegaskan bahawa pihaknya tidak akan terlibat dalam sebarang provokasi atau spekulasi di media sosial dan akan terus menghormati proses undang-undang.






























