Ruddy Awah
PITAS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Ruddy Awah menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang mengaitkan beliau dengan skandal rasuah dan pecah amanah seperti yang disebarkan dalam satu video di aplikasi TikTok.
Beliau menyatakan bahawa tuduhan tersebut adalah fitnah dan satu komplot jahat untuk mencemarkan reputasinya sebagai wakil rakyat serta pemimpin dalam Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Saya menegaskan bahawa saya tidak pernah terlibat atau disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang dinyatakan dalam video tersebut,” katanya.

Sebagai langkah susulan, satu laporan polis telah dibuat pada 3 Disember 2024 oleh Ramlah Nasir, Pembantu Pembangunan Masyarakat (PPM) N3 Pitas, bersama Ketua Daerah Pitas, OKK Halim Kadir dan Pemaju Mukim N3 Pitas, George Sibul.
Menurut Ruddy, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun TikTok yang memuat naik video berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai, khususnya warga Pitas, agar menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya di media sosial.
Katanya, menyebarkan maklumat palsu adalah kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan.
“Saya menyeru agar semua pihak lebih berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan maklumat, serta bersama-sama menolak penyebaran fitnah dan berita palsu demi kesejahteraan masyarakat kita,” tambahnya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam membuat laporan polis tersebut dan menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat demi rakyat dan pembangunan Pitas.




























