Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Menteri Kewangan, Datuk Masidi Manjun telah secara sukarela memberikan keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kota Kinabalu pada jam 8 malam ini.
Ini susulan video tular ‘whistleblower’ yang mengaitkan beliau yang telah disiarkan oleh Malaysiakini.
“Saya ingin memaklumkan bahawa saya secara sukarela dan tanpa dipanggil oleh pihak SPRM telah memberi keterangan berkenaan video yang tular hari ini di pejabat SPRM Kota Kinabalu pada jam 8 malam.
“Sepertimana yang saya telah maklumkan sebelum ini, saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak-pihak yang berwajib untuk menyiasat isu ini.
“Kunjungan saya ke Pejabat SPRM malam ini adalah untuk membantu siasatan dan tanda sokongan saya kepada usaha SPRM membanteras rasuah di negeri ini,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Dalam kenyataan beliau terdahulu, Masidi menyatakan beliau tidak pernah ingat perbualan dalam video tular ‘whistleblower’ yang mengaitkan beliau yang telah disiarkan oleh Malaysiakini kerana rakaman perbualan tersebut telah disunting.
“Yang saya ingat beliau menawarkan untuk menyumbang kepada parti dan saya telah menjawab bahawa tidak ada keperluan untuk berbuat demikian.
“Saya tidak tahu menahu mengenai wang
sebanyak RM300 ribu yang kononnya diserahkan melalui pegawai khas saya,” kata Masidi.
Beliau mengalu-alukan sebarang siasatan ke atas dakwaan ini oleh pihak yang berwajib dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak agensi penyiasat.


































