Hajiji menandatangani plak elektronik sempena lawatan kerjanya ke KSTI.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengarahkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri (KSTI) untuk memantau dengan teliti pemasangan menara telekomunikasi di bawah fasa pertama projek Jalinan Digital Nasional (JENDELA) di Sabah.
“Fasa kedua JENDELA akan dilaksanakan tahun depan, tetapi prestasi kontraktor masih jauh daripada memuaskan,” katanya selepas lawatan kerjanya ke KSTI di Wisma Bandaraya, di sini, hari ini.
Ketua Menteri dimaklumkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bahawa hanya 217 daripada 382 menara atau 57 peratus di bawah fasa pertama JENDELA telah siap di Sabah.
Daripada 217 menara yang telah siap, hanya 63 peratus yang beroperasi sepenuhnya.
Hajiji berkata, KSTI dan MCMC mesti memastikan kerja-kerja disiapkan mengikut jadual.
Beliau memberi amaran bahawa Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jika tiada peningkatan dalam prestasi projek tersebut.
Hajiji turut diberi taklimat oleh Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Hanafiah Mohd. Kassim mengenai usaha mengurangkan pengangguran melalui latihan berdasarkan penempatan pekerjaan serta menarik lebih ramai pelajar menceburi bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
“Saya mahu Kementerian memberi tumpuan kepada STEM selaras dengan keperluan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).
“Kita tidak mahu ketinggalan, oleh itu Kementerian perlu memainkan peranannya sebagai peneraju utama sains dan teknologi di negeri ini,” katanya.
Turut hadir dalam taklimat tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd. Ariffin Mohd. Arif, Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong dan para pembantu menteri.






























