Mohd. Izani (tiga dari kiri) menyerahkan model Pelan Pembangunan Lapangan Terbang KKIA kepada Hajiji. Kedua dari kanan ialah Liew.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata, sudah tiba masanya Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menaik taraf kemudahan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan juga Lapangan Terbang Tawau.
Beliau memaklumkan telah mengadakan mesyuarat yang sangat baik bersama delegasi empat anggota dari MAHB yang diketuai oleh Pengarah Urusannya, Dato’ Mohd. Izani Ghani, yang melakukan kunjungan hormat kepada beliau di Sri Gaya, Rabu.
“Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu merupakan lapangan terbang kedua paling sibuk di Malaysia. Jadi, diharapkan kerja menaik taraf Terminal 1 dapat dimulakan secepat mungkin. Kami amat menghargainya. Jumlah pelancong yang datang ke Sabah semakin meningkat,” kata Hajiji selepas sesi taklimat tersebut.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew yang turut hadir berkata, lebih banyak penerbangan terus akan tiba di Sabah dari November hingga Disember tahun ini.
Dalam pembentangannya, Mohd. Izani menyatakan jumlah anggaran kos pembangunan untuk melaksanakan Pelan Pembangunan Lapangan Terbang KKIA adalah RM442.3 juta untuk Terminal 1 dengan kapasiti 12 juta penumpang setahun (12 juta mppa).
Pada 2019, KKIA telah melebihi ambang kapasiti 9 juta mppa dengan jumlah keseluruhan 9.4 juta mppa.
“Kami (MAHB) gembira melihat perkembangan di Kota Kinabalu. Itulah pelannya, dan sekarang kami akan melaksanakannya. Kami akan memberikan terminal yang diperluas apabila siap pada pertengahan 2028,” kata Mohd. Izani kepada Ketua Menteri.
Menurut Pengarah Urusan itu, aktiviti pembinaan melibatkan kerja menaik taraf bangunan terminal sedia ada dan pemanjangan pier (termasuk tempat letak kereta bertingkat), infrastruktur bahagian udara (untuk menampung tambahan tujuh pesawat), infrastruktur bahagian darat (peningkatan jalan raya), dan kerja-kerja infrastruktur.
Mengenai permintaan untuk MAHB menyediakan model Pelan Pembangunan Lapangan Terbang KKIA untuk dipamerkan kepada umum di lapangan terbang, Mohd. Izani berkata, mereka perlu memuktamadkan reka bentuk terlebih dahulu.
Sementara itu, beliau berkata, KKIA sedang menjalani program pengoptimuman untuk meningkatkan suasana terminal dan infrastruktur di kawasan bahagian udara.
“Program ini dijangka siap pada pertengahan tahun 2025.”
Anggota lain delegasi MAHB termasuk Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports Sdn Bhd, Kamaruzzaman Razali; Penasihat kepada Pengarah Urusan, Datuk Abdullah Kadir Bacha; dan Pengurus Besar (Hubungan Pemegang Taruh & Hal Ehwal Kawal Selia), Mohammad Hanizal Abdul Hamid.