Rosmadi (tengah) berbincang dengan ADUN bukan parti kerajaan pada Sesi Libat Urus Pemurnian Data Miskin Tegar Negeri Sabah Fasa 2.0 Bersama ADUN Siri 01 di Hyatt Centric, Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), Jabatan Ketua Menteri, mengadakan Sesi Libat Urus Pemurnian Data Miskin Tegar Negeri Sabah Fasa 2.0 Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Siri 01, di Hyatt Centric, di sini, hari ini.
Sesi libat urus itu khusus untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti bukan Kerajaan.
Seramai dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti bukan
kerajaan dan tiga lagi wakil ADUN lain menyertai sesi libat urus itu. Mereka ialah ADUN Tungku, Assaffal @ Samsul Kamal P. Alian dan ADUN Bongawan, Dr. Daud
Yusof. Tiga orang wakil ADUN daripada kawasan DUN Sungai Manila, Sukau dan Darau.
Sesi libat urus itu diadakan susulan arahan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Yang Keenam Belas, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat SMJ, Datuk Haji (Datu) Rosmadi Sulai telah menyampaikan perutusan dan pembentangan pengenalan Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah.
Rosmadi berkata, Kerajaan Negeri komited merealisasikan agenda untuk menoktahkan kemiskinan di Sabah.
Beliau memohon bantuan dan kerjasama daripada ADUN-ADUN untuk mengenal pasti senarai rakyat termiskin dan miskin tegar di kawasan masing-masing.
Katanya, sesi libat urus itu penting bagi mendapatkan input dan cadangan daripada semua, terutama sekali ADUN bukan parti kerajaan dari segi menambah senarai nama
Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) yang tercicir dari Sistem e-Kasih di kawasan DUN masing-masing ke dalam Sistem Pangkalan Data Kemiskinan Negeri Sabah (PADANS).
Rosmadi berkata, sesi libat urus ini mencerminkan keterbukaan dan komitmen pimpinan Kerajaan pada waktu ini untuk membasmi kemiskinan tegar di Sabah.
Ketua Menteri telah menegaskan bahawa usaha-usaha dalam menoktahkan kemiskinan tegar tidak seharusnya dibatasi oleh agama, bangsa atau fahaman politik.
Sempena Sesi Libat Urus Pemurnian Data Miskin Tegar Negeri Sabah itu, ADUN-ADUN dan wakil mereka turut didedahkan dengan Sistem PADANS dan tatacara permohonan pendaftaran sistem itu bagi tujuan intervensi bantuan kelak.
Turut hadir pada sesi libat urus itu ialah Pengarah Sekretariat SMJ, Rosnih Othman dan pegawai-pegawai lain.


































