JAKARTA: Penyanyi Indonesia, Krisdayanti antara artis yang bertanding di
Pilihan Raya Serentak (PILKADA) 2024 mewakili Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDIP).
Menurut Utusan Malaysia, penyanyi Mencintaimu itu bertanding bagi merebut kerusi Wali Kota Batu, bergandingan Kresna Dewanata Phrosakh sebagai calon.
Krisdayanti yang telah menjadi Anggota Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia sejak 1 Oktober 2019 mahu bergelar pemimpin bagi memajukan kampung halamannya di Batu, Indonesia.
Bukan hanya Krisdayanti, malah artis lain yang turut memeriahkan kelapangan politik kali ini ialah pelakon, Rano Karno.
Rano Karno bertanding sebagai calon Wakil Gabenor Daerah Khusus Ibukota (DKI) Jakarta berganding dengan Pramono Anung yang mencalonkan diri sebagai Gabenor.
Rano mencuba nasib melihat kepada prestasinya sebelum ini yang pernah menyandang jawatan Wakil Gabenor Banten antara 2012 hingga 2014 dan Gabenor Banten (2015 hingga 2017).
PILKADA 2024 di Indonesia bakal mempertandingkan kerusi di 545 kawasan meliputi 37 wilayah, 415 daerah dan 93 bandar.
Sebanyak 435,296 pusat pengundian disediakan yang dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU).