Masiung (empat dari kiri) melawat kerja-kerja tanah fasa pertama kilang simen.
TONGOD: Tiada aktiviti pembalakan di kawasan bukit batu kapur yang dicadangkan untuk pembinaan kilang klinker dan simen di Kampung Kayawoi, kata Pengerusi Borneo Cement (Sabah) Sdn. Bhd. (BCS), Datuk Masiung Banah.
“Walaupun terdapat sisa kayu balak di kawasan rendah pada awalnya, aktiviti pembalakan tersebut berlaku beberapa tahun lalu, sebelum cadangan pembinaan kilang ini dibuat,” jelasnya.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa syarikat itu melakukan pembalakan semasa menjalankan kerja tanah bagi membina laluan ke tapak kuari kilang tersebut.
“Dakwaan tersebut tidak benar,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu berkata demikian semasa ditemui media ketika melawat kerja-kerja fasa pertama di salah satu lokasi tapak kuari BCS di Kampung Susui di sini, kelmarin.
Masiung berkata, hampir keseluruhan kawasan Bukit Batu Kapur yang dilesenkan di bawah Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) tidak memiliki banyak tumbuhan kayu-kayan.
“Kerja-kerja fasa pertama yang telah dilesenkan oleh EIA merangkumi pembinaan tapak kuari, kerja tanah, dan pembinaan jalan ke lokasi yang kaya dengan lapisan batu kapur.
“Kami mematuhi sepenuhnya peraturan yang ditetapkan oleh EIA. Tambahan pula, setiap aspek kerja kami dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar,” katanya.
Projek pembinaan kilang klinker dan simen ini melibatkan pelaburan sebanyak RM1.2 bilion, hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri, Sri Alam Setia Sdn. Bhd. yang menubuhkan BCS, dan Sinoma Industry Berhad, syarikat pengeluar simen terbesar dari China.
Sebanyak 500 ekar kawasan untuk klinker telah diwartakan kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) bagi projek tersebut, manakala 200 ekar lagi diberikan kepada BCS untuk tapak kuari, kilang, pejabat dan kawasan kediaman pekerja.
Hadir sama semasa lawatan itu ialah Pengarah Urusan BCS, Micheal Kinsuan; Pegawai Daerah Tongod, Yuesri Ismail Yusof; dan Pegawai Pembangunan Masyarakat, Tokyo Hasim Omar.


































