Phoong Jin Zhe
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) sentiasa komited dalam meningkatkan usahasama dengan pelbagai Kementerian, Jabatan dan Agensi di peringkat Persekutuan mahupun Negeri bagi membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Sabah.
Menterinya, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, Kementeriannya giat menjalinkan usahasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi-agensi di bawahnya dalam melaksanakan pelbagai program pemantapan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) Sabah pada tahun 2023 hingga 2024.
Beliau berkata, program yang telah dilaksanakan dengan jayanya adalah seperti penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah (JPPKNS) di mana Kementeriannya telah bekerjasama dengan KUSKOP melalui Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah (JPPKNS).
Katanya, penubuhan jawatankuasa ini adalah bagi menyelaras program-program pembangunan keusahawanan dan membincangkan isu-isu semasa serta bantuan kewangan dari pelbagai pihak sama ada peruntukan daripada Kerajaan Negeri atau Persekutuan.
“JPPKNS ini dipengerusikan oleh saya bersama Menteri KUSKOP dan akan bermesyuarat sekurang-kurangnya dua kali setahun. Setakat ini jumlah keahlian JPPKNS adalah sebanyak 31 ahli yang terdiri dari Kerajaan Negeri atau Persekutuan yang berkaitan dengan pembangunan keusahawanan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan daripada Jannie Lasimbang (Kapayan) yang bertanya apakah usahasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pada tahun 2023-2024 yang berjaya dan apakah yang dipelajari daripada yang tidak berjaya dalam membantu usahawan di Sabah.
Phoong berkata, Kementeriannya juga bekerjasama dengan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) bagi melaksanakan Program Pemerkasaan Usahawan Sabah (PUSH).
Beliau menjelaskan, ini adalah bertujuan bagi memupuk ketersediaan awal para usahawan ke arah mentransformasi perniagaan agar berkembang menjadi francaisor yang berdaftar.
“Sasaran program ini adalah untuk melahirkan 40 usahawan baru dalam bidang francais di Sabah dan program ini akan berjalan selama 6 bulan iaitu bermula pada bulan Mei hingga November 2024. Pada akhir program ini, peserta akan ditawarkan perniagaan francais mengikut kesesuaian dan keupayaan usahawan tersebut. Kementerian saya telah memberikan suntikan dana bagi menjayakan program ini sebanyak RM150,000.”
Katanya, usahasama itu juga melibatkan kerjasama dengan SME Corp. Malaysia dalam melaksanakan Karnival Usahawan PMKS Sabah.
Beliau berkata, Karnival Usahawan PMKS Sabah ini dianjurkan bagi membantu para usahawan meneroka peluang pasaran baharu, meningkatkan hasil jualan, menjalankan padanan perniagaan bersama pasaraya tempatan dan mempromosikan produk PMKS kepada masyarakat Sabah.
Pada tahun 2023, dua karnival PMKS Sabah telah diadakan di daerah Tawau dan Sandakan, manakala dua lagi karnival PMKS Sabah pada tahun ini adalah di Keningau dan Beaufort.
“Pencapaian hasil padanan perniagaan bersama pasaraya tempatan sempena Karnival Usahawan PMKS Sabah bagi tahun 2023 adalah sebanyak RM9.4 Juta dengan melibatkan sebanyak 25 Syarikat. Manakala bagi tahun 2024 pula sebanyak RM6.1 Juta dengan melibatkan 36 syarikat.”
Kerjasama juga diadakan dengan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) bagi melaksanakan Seminar Asas Pembangunan Produk dan Servis (SAPPS) pada tahun ini di tiga daerah iaitu Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.
Phoong menjelaskan, objektif dan fokus utama seminar ini adalah untuk melatih para usahawan meningkatkan jualan mereka dengan menggunakan strategi pembangunan produk. Penganjuran seminar ini mencatatkan penyertaan seramai 625 usahawan ke Seminar Asas Pembangunan Produk dan Servis (SAPPS).
“Melalui kerjasama dengan KUSKOP, PERNAS dan Majlis Ugama Islam (MUIS) Sabah telah melaksanakan Bengkel Kesedaran Halal Usahawan MADANI Sabah 2024. Objektif utama bengkel ini adalah untuk memandu ke arah pembangunan sektor secara bersasar dalam industri, meningkatkan keupayaan usahawan dan koperasi dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan Halal yang berdaya saing dan meningkatkan bilangan usahawan Sabah untuk memperoleh pensijilan Halal.
“Pelaksanaan bengkel ini memfokuskan kepada dua kategori usahawan iaitu usahawan yang memiliki premis untuk memohon pensijilan Halal dan usahawan mikro yang beroperasi di rumah atau PMKS untuk memperolehi pensijilan Halal Malaysia melalui Sijil Halal Industri Kotej (SHIK). Seramai 168 usahawan Sabah yang bersedia untuk memohon pensijilan Halal telah mengikuti bengkel ini.”
Phoong berkata, program-program yang telah dilaksanakan oleh Kementeriannya dengan usahasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), sememangnya mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada usahawan.
Katanya, sebelum sesuatu program dirancang, pelbagai aspek perlu dipertimbangkan agar matlamat dan objektif program itu dapat dicapai.
“Pemilihan lokasi yang tepat dan komitmen dari pelbagai pihak penting bagi memastikan program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Oleh itu, saya berharap melalui usahasama ini ia dapat memberikan pelbagai manfaat kepada usahawan di Sabah dan memastikan keupayaan mereka dapat berdaya saing di pasaran global.”
































