Shahelmey Yahya
KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya Sabah akan menggunakan peruntukan Belanjawan 2025 sebanyak RM1.347 bilion bagi menangani isu-isu yang sekian lama membelenggu kementerian tersebut.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk menangani isu-isu berkaitan dengan kemudahan asas, seperti jalan raya, cerun, jambatan, bekalan air, perkhidmatan pembetungan dan infrastruktur pelabuhan dan dermaga.
“Belanjawan Tahun 2025 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan memberi tumpuan dan penekanan terhadap fokus serta komitmen Kerajaan Negeri untuk memacu dan memperkasa pertumbuhan ekonomi negeri serta meningkatkan kesejahteraan rakyat secara inklusif melalui pelbagai projek kemudahan awam dan utiliti.
“Dalam konteks Kementerian saya, hala tuju Belanjawan 2025 yang dibentangkan adalah berpaksikan kepada tonggak ke-4 belanjawan.
“ini termasuk meningkatkan pembangunan pemboleh daya khususnya infrastruktur fizikal, utiliti dan kemudahan awam bagi menyokong pertumbuhan dan pengembangan ekonomi,” katanya.
Tambahnya, ini turut melibatkan pelaksanaan projek dan program infrastruktur awam seperti jalan raya, lebuh raya dan lain-lain kemudahan awam yang dilaksanakan di bawah bidang kuasa Kementeriannya selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Katanya, seiring dengan tema Belanjawan 2025 iaitu “Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera”, Kementerian sentiasa dan akan terus komited dalam menyediakan kemudahan infrastruktur bagi kesejahteraan rakyat di negeri ini.
“Justeru itu, bertepatan dengan aspirasi Belanjawan 2025, KKRS akan menggembleng usaha untuk samasama berganding bahu melaksanakan program-program pembangunan khususnya pembangunan kemudahan infrastruktur dan prasarana awam secara berterusan,” katanya.
Shahelmey berkata, Kementerian melalui jabatan dan agensi pelaksana di bawahnya iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Negeri Sabah (JPPNS), Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) serta Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) akan terus komited memperkasa pembangunan infrastruktur awam.
Bagi menjamin keberkesanan dasar-dasar tersebut, katanya, Kementerian akan memastikan setiap jabatan dan agensi di bawahnya melaksana program pembangunan seperti yang dirancang.
Sementara itu, beliau berkata, daripada jumlah peruntukan yang diperuntukkan kepada KKRS, sebanyak RM424.53 juta diperuntukkan kepada JKR dalam belanjawan tahun hadapan untuk menampung perbelanjaan bagi program-program berkenaan.
Tambahnya, selari dengan usaha untuk meningkatkan perkhidmatan bekalan air, JANS diperuntukkan sebanyak RM729.79 juta bagi melaksanakan program penyelesaian segera dan jangka pendek yang bertujuan meningkatkan kapasiti dan keberkesanan sistem bekalan air di negeri ini.
Berhubung dengan perkhidmatan pelabuhan dan dermaga, katanya, Kementerian melalui JPDS diperuntukkan sebanyak RM29.94 juta pada tahun hadapan untuk memastikan penyediaan laluan yang selamat bagi kapal-kapal kecil dan kapal-kapal dagang serta penyediaan kemudahan pelabuhan yang selesa dan selamat.
Bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan keretapi pula, katanya, sebanyak RM63.61 juta diperuntukkan kepada JKNS.
Beliau berkata, di bawah Belanjawan 2025, JPPNS telah diberi peruntukkan sebanyak RM91.59 juta bagi melaksanakan program-program seperti kerja-kerja operasi dan senggara yang merangkumi kerja kerja awam, elektrikal, mekanikal serta proses dan alam sekitar, antara lain.
Shahelmey berkata demikian semasa menggulung untuk Kementeriannya pada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau berkata, bagi lampu jalan di Jalan Persekutuan, penyelenggaraan dan penambahbaikan lampu-lampu jalan ini sememangnya telah dilaksanakan secara berfasa dari tahun 2022 dan masih diteruskan.
Bagi isu jambatan katanya, terdapat dua projek menaik taraf jambatan di Sungai Liawan, Keningau.
“Projek pertama adalah Menaik taraf Jambatan Sg. Liawan, KM3.40 Jalan Luagan, Keningau, Sabah. Projek ini telah diluluskan bagi pelaksanaannya melalui RMK12-RP2 di bawah biayaan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Projek ini telah bermula pada 22 November 2023 dan dijangka siap pada 21 Mei 2025.
“Projek kedua pula adalah Menaik taraf Jambatan Sg. Liawan, KM2.0 Jalan Kg. Dangulad Tuarid Taud, Keningau, Sabah. Projek ini telah diluluskan bagi pelaksanaannya melalui RMK12-RP3 di bawah biayaan Kerajaan Persekutuan melalui KKDW. Projek ini telah bermula pada 2 Julai 2024, manakala tarikh siap asal pula dijangka pada 8 Januari 2026,” katanya.
Beliau berkata, kerja-kerja naik taraf jalan yang sedang dalam pelaksanaan ialah Jalan Keritan Ulu sepanjang 5.5 km di bawah program Menaik taraf Jalan raya-Jalan raya SRT2, SRT3 JKR dan Non-Qualified Road (NQR) PBT di Sabah selama 10 Tahun.
Bagi Jalan Patikang Tengah – Jalan Batu 27 pula, katanya, jalan ini telah disenaraikan di dalam program Menaik taraf Jalan rayaJalan raya SRT2, SRT3 JKR dan NQR PBT di Sabah selama 10 Tahun.
Shahelmey menegaskan bahawa kerja penyenggaraan rutin jalan iaitu tampalan lubang (pothole patching) dan tampalan rekahan (cracks sealing) hanya bersesuaian bagi jalan dalam keadaan sederhana (tahap 3) yang mana kerosakan hanya berlaku pada lapisan turapan (premix) sahaja.
Menurut beliau, kerja penyenggaraan rutin tampalan lubang dan tampalan rekahan secara sementara dilaksanakan untuk mencegah lubang-lubang yang terbentuk daripada menjadi lebih besar dan dalam yang mana boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
“Bagi menambah baik kerja penyenggaraan rutin tampalan lubang (pothole patching) dan tampalan rekahan (crack sealing) supaya berdaya tahan, penggunaan inovasi bahan-bahan binaan terkini seperti ‘cold-mix’ serta bahan tambah seperti serat (fiber) dari bahan organik dan sintetik serta penggunaan jentera/teknologi terkini sedang dalam peringkat ujian dan kajian oleh JKR Sabah.
“Kerja penyenggaraan rutin tetap dilaksanakan mengikut kuantiti dan jadual yang telah ditetapkan walaupun aduan tidak diviralkan,” katanya.
Sementara itu, Shahelmey memberitahu bahawa jalan-jalan bekas balak berkenaan terletak di dalam kawasan hutan simpan yang mana kawasan tersebut merupakan bidang kuasa Jabatan Perhutanan Sabah.
“Walau bagaimanapun, Kerajaan telah meluluskan pada bulan November 2021 yang membolehkan JKR Sabah menyelenggara jalan-jalan bekas balak tersebut dengan persetujuan Jabatan Perhutanan Sabah.
Bagi membolehkan perkara ini dilaksanakan katanya, Kementerian melalui JKR telah mengesyorkan agar peruntukan khas disediakan untuk penyenggaraan jalan-jalan bekas balak tersebut disebabkan jalan-jalan ini tidak memenuhi kriteria untuk disenggara menggunakan peruntukan MARRIS dan masih berstatus tanah hutan simpan.
Berkaitan dengan status terkini pembinaan dua buah jambatan konkrit yang menuju ke pekan Nabawan, Shahelmey berkata, pembinaan jambatan tersebut telah diluluskan untuk pelaksanaanya melalui biayaan KKDW.
“Projek pertama adalah Menaik taraf Jambatan Sg. Pancuran, KM0.20 Jalan Nabawan Township, Nabawan, Sabah. Projek ini sedang dalam pembinaan yang mana telah bermula pada 25 Mac 2024 dan tarikh siap asal pula pada 24 September 2025.
“Setakat Oktober 2024, projek ini terlewat jadual dengan kemajuan fizikal sebanyak 1.6 peratus (Sebenar) berbanding 9.8 peratus (Jadual). Kelewatan ini adalah disebabkan oleh isu pengalihan utiliti dan sedang ditangani oleh JKR bersama semua pihak yang terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan bagi perkhidmatan perunding untuk penyediaan reka bentuk Jalan Kemabong-Gumisi (Fasa 2) dalam RMK12, dan ia telah pun siap sepenuhnya.
Katanya, jalan-jalan lain pula akan diteliti dan dimasukkan dalam senarai pangkalan data JKR Sabah untuk dicadangkan dalam permohonan Rolling Plan (RP) seterusnya di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) biayaan Kerajaan Persekutuan melalui (KKDW).
Sementara itu, berkaitan isu bekalan air ke Kg. Pamaladan Baru, Shahelmey berkata, Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Loji Rawatan Air Bongawan, Membakut, Sabah telah diluluskan dalam RMK12.
Katanya, projek ini melibatkan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) baharu berkapasiti 6 juta liter (JLH) dan kini di peringkat penyediaan dokumen tender.
“Satu daripada kampung yang akan menerima manfaat daripada pembinaan LRA baharu ini adalah Kg. Pamaladan Baru,” katanya.
Tambah beliau, BALB Negeri Sabah dalam RMK11 telah diluluskan di Kg. Sungai Melayu, Begosong Kecil, Pulau Sebatik.
Walau bagaimanapun, sumber air mentah di kawasan cadangan projek tersebut adalah terhad untuk menampung keperluan permintaan bekalan air ke kawasan sasaran dan sekitarnya.
“Sehubungan dengan itu, Kementerian saya melalui JANS telah merangka beberapa inisiatif seperti Tindakan Jangka Masa Pendek dan juga Tindakan Jangka Masa Panjang untuk perkara tersebut,” katanya.
Oleh itu, katanya, projek-projek bagi penyaluran bekalan air alternatif seperti graviti tidak dapat dilaksanakan oleh pihak JANS, jabatan tersebut bersedia bekerjasama dan memberikan sokongan teknikal kepada agensi-agensi yang berhasrat melaksanakan sistem bekalan air alternatif.
Berkenaan status Loji Rawatan Air Dewata, Shahelmey berkata, BALB Kg. Dewata, Lahad Datu secara fizikalnya telahpun siap dan ia melibatkan pembinaan LRA baharu berkapasiti 3 JLH, dan kini dalam peringkat akhir untuk pelaksanaan Testing and Commissioning (T&C) yang dijadualkan pada suku pertama tahun 2025.
Tambah beliau lagi, berdasarkan semakan dan rekod Jabatan Air Tawau, hanya 28 notis gangguan bekalan air di seluruh Tawau yang dikeluarkan dari 1 hingga 12 November 2024 dan bukannya 111 seperti yang dikatakan.
“Terdapat dua sebab utama yang menyumbang kepada notis gangguan yang berlaku di Tawau iaitu kekeruhan yang tinggi serta masalah paip pecah atau bocor,” katanya.
Dalam hal lain, katanya, keperluan tenaga bagi keseluruhan Sabah buat masa ini adalah berjumlah 1166 MW, dengan kapasiti Penjanaan keseluruhan berjumlah 1226 MW.
“Jumlah Reserve Margin buat ketika ini adalah sebanyak lima peratus sahaja. Namun begitu, bagi memastikan reserve margin yang mencukupi, Sabah Electricity telah menambah set penjanaan diesel interim dengan kaasiti berjumlah 90MW yang telah siap sepenuhnya bermula bulan Jun 2024 yang terletak di seluruh Sabah dan penjanaan interim ini telah dilanjutkan selama dua tahun sehingga tahun 2026.
“Selain itu, Sabah Electricity sedang berusaha untuk menambah set penjanaan yang terdiri daripada Rental Gas Turbine 100 MW dan mobile BESS 100MW yang dijangka akan beroperasi Julai 2025.
“Dengan adanya projek-projek yang dinyatakan ini, Reverse Margin menjelang Julai 2025 dijangkakan pada 22% dimana caruan beban dapat dielakkan,” jelas beliau.


































