Phoong Jin Zhe
KOTA KINABALU: Pelbagai kemajuan telah dicapai berhubung pelaksanaan pelaburan syarikat dari Singapura, iaitu Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd. (Esteel) di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, terdapat tiga fasa pembangunan pelaburan yang telah dirancang.
Katanya, maklumat berhubung status kemajuan pelaksanaan pelaburan Fasa 1 adalah seperti berikut, iaitu pelan pembangunan projek (Development Plan) telahpun diluluskan oleh Majlis Perancangan Negeri.
“Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) bagi kerja-kerja tanah (earthwork) telah diluluskan oleh Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS)
“Kerja-kerja Siasatan Tanah (Soil Investigation) bagi tapak pembinaan kilang Fasa 1 telah dilaksanakan.
“Pelaksanaan Full Mission Shiphandling Simulation (FMSS) yang merupakan salah satu komponen ‘Marine Traffic Risk Assessment’ (MTRA) bagi pembangunan jeti telah dilaksanakan dengan jayanya.
“Kerja-kerja siasatan tanah di Kawasan laut untuk pembangunan jeti sedang dijalankan.
“Terma Rujukan (Term of Reference) bagi Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar telah disiapkan untuk dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk kelulusan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan daripada Datuk Dr. Jaujan Sambakong (Sulabayan) yang bertanya sejauh manakah pelaksanaan terkini oleh syarikat Singapura Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd. berharga RM19.8 billion dalam Green Steel Projek SOGIP Sipitang, yang dikatakan mencipta 10,000 peluang pekerjaan oleh Menteri Kewangan pada Persidangan Bajet 2023.
Phoong berkata, bagi fasa 2 dan 3, syarikat Esteel sedang memuktamadkan perjanjian sewaan tanah dengan pihak SOGDC.
Katanya, ini jelas menunjukkan bahawa syarikat pelabur tersebut komited untuk terus menjadikan Sabah sebagai destinasi pelaburan syarikatnya.
“Kementerian saya bersama agensi yang berkepentingan akan terus komited untuk menyelaras dan memudahcara pelaksanaan pelaburan syarikat Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd. sekaligus mempercepatkan pertumbuhan sektor perindustrian di Sabah seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.”


































