James Ratib
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) sedang meneliti dan akan menyediakan cadangan bantuan yang berkaitan dengan perkhidmatan kesihatan, seperti rawatan dialisis, kepada Kabinet Negeri.
Menterinya, Datuk James Ratib berkata, perkara ini penting dan perlu diteliti lebih lanjut lagi bagi memberi manfaat yang menyeluruh dan berpanjangan khususnya kepada pesakit buah pinggang dan umumnya kepada semua pesakit yang menerima rawatan di fasiliti kerajaan di Sabah.
Beliau berkata demikian semasa menggulung untuk Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
James berkata, peruntukan sebanyak RM162.42 juta kepada KPMKR bagi tahun 2025 jelas membuktikan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memperkasa kesejahteraan dan kebajikan setiap lapisan masyarakat secara inklusif dan holistik.
Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM11.91 juta dikhaskan untuk tujuan pembangunan, manakala RM150.51 juta adalah untuk tujuan perbekalan.
“Peruntukan ini jelas membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap pembangunan masyarakat dan kesejahteraan rakyat di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan juga Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.
Beliau yakin dengan sokongan dan kerjasama semua, KPMKR akan dapat menyumbang dengan lebih efektif lagi kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.
Pada tahun 2025, KPMKR melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) akan meneruskan Program Homeward bagi menyantuni rakyat yang sakit terlantar, warga emas dan OKU.
James berkata, program ini telah membantu seramai 5,689 pesakit di seluruh Sabah sejak ianya mula diperkenalkan pada tahun 2021 sehingga kini.
Pada tahun 2025, JPKA akan memperkenalkan satu program baharu iaitu Program Kecemerlangan Pendidikan Pelajar (Pro-KePP) untuk membantu anak-anak penerima bantuan yang cemerlang dalam pendidikan.
“Program ini akan dilancarkan pada penghujung tahun depan melibatkan seramai 104 orang anak-anak penerima bantuan,” katanya.
Beliau juga berterima kasih atas kelulusan peruntukan bagi Program Intervensi Kanak-Kanak Autisme yang akan dilaksanakan di Taman Didikan Kanak-Kanak di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Kudat dan Beaufort dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta pada tahun hadapan.
Beliau berkata, KPMKR melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) juga akan meneruskan program-program memperkasakan peranan dan penglibatan wanita dalam arus pembangunan.
“Dua program baharu berimpak tinggi akan dilaksanakan tahun depan, iaitu Persidangan Wanita Sejahtera Sabah (PWS) dan juga Karnival Kesejahteraan WANITA BESTARI (WA-BEST).
“JHEWA juga telah menerima tambahan peruntukan RM1.5 juta bagi meneruskan dan memperkasakan lagi program kolaborasi dan pembangunan NGO Wanita mulai tahun depan,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian juga merancang untuk mengkaji semula program yang telah dilaksanakan oleh Persauan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) tahun depan bagi memastikan ianya benar-benar relevan dan memberi impak yang dihasratkan.
Tahun lalu, PEMADAM telah melaksanakan sebanyak 66 program kesedaran untuk pelajar dan masyarakat dengan jumlah penyertaan seramai 18,184 orang.
Pada tahun 2025, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sabah akan membina Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Lelaki/Wanita dan Pusat Tahanan Reman (PTR) Tawau Baru dengan kapasiti 300 klien iaitu 250 lelaki dan 50 wanita
“Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) akan meneruskan pelaksanaan Program Penjagaan dan Pemerkasaan Orang Kurang Upaya, Program Penuaan Sejahtera, Program Sosial Kanak-Kanak dan Program Kesedaran Kesihatan.
“MPMS sentiasa bekerjasama dengan NGO-NGO untuk memberi sokongan dan pengetahuan kepada ibubapa, keluarga serta masyarakat melalui Bengkel Pengendalian Kanak-Kanak Berkeperluan Khas dan yang mempunyai autisme.
“Pada tahun ini, melalui gabungan NGO dan Jabatan/Agensi Kerajaan, satu persidangan Special Education and Intervention Conference in Sabah bertemakan “Every Child Matters – Prioritsing Education, Skills, Health and Safety for Children With Special Needs” telah diadakan.
“Ia bertujuan untuk menghimpunkan tenaga pengajar, profesional, penjaga dan ibu bapa untuk bertukar-tukar pandangan, pengajaran, pembelajaran dan pendekatan inovatif ke arah meningkatkan pendidikan khas dan intervensi bagi individu yang mempunyai pelbagai keperluan pembelajaran,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri akan meneruskan program-program yang memberi bantuan dan sokongan kepada kanak-kanak dan individu autisme dan berkeperluan khas.
“Selain itu, MPMS turut bekerjasama dengan NGO-NGO seperti Cheshire Sabah, CHILD Sabah, Pusat Seri Mengasih dan Persatuan Autisme Sabah untuk menyediakan latihan kemahiran dan program bengkel perlindungan untuk orang dewasa yang menghidap autism,” katanya.
James berkata, Kementeriannya melalui JPKA Sabah sedar akan kepentingan intervensi awal dan pendidikan untuk kanak-kanak autisme.
Oleh yang demikian, JPKA dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan mewujudkan Program Pra-Sekolah Autisme di Institusi Kebajikan Negeri bermula pada tahun 2025.
Menyedari akan keadaan dan keperluan kritikal perkhidmatan kesihatan, James berkata, KPMKR melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) komited untuk meningkatkan tahap perkhidmatan kesihatan termasuk tahap fasiliti di negeri ini.
Sehubungan itu, katanya, pada tahun depan, JKNS fokus kepada pelaksanaan perkara-perkara seperti perkhidmatan dan pengoperasian Bangunan Blok Klinikal Baharu di Hospital Tawau.
Selain itu, fokus juga diberikan kepada Kerja Awalan Pusat Jantung Sabah; Kerja Awalan Naiktaraf Hospital Kota Marudu; Kerja Awalan Naiktaraf Hospital Duchess of Kent Sandakan; Kerja Awalan Naiktaraf Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah; Kerja Awalan Naiktaraf Hospital Queen Elizabeth; Kelulusan Projek Darah Wilayah Sabah; dan Kelulusan Naiktaraf Dewan Bedah Kedua Tuaran.
“Menaik taraf fasiliti lain dan pembinaan fasiliti baharu juga telah dirancang dan akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.
Menyentuh tentang kos sara hidup yang meningkat di mana ia berkait rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), James berkata, KPMKR mendengar dan faham akan keluhan tentang kos sara hidup yang meningkat.
Kementeriannya melalui KPDN merancang dan melaksanakan pemantauan dan kutipan harga secara harian, mingguan dan bulanan.
“Pegawai Pemantau Harga KPDN sentiasa menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN agar para peniaga beretika dalam berurusniaga dan melindungi hak-hak pengguna.
“Bukan itu sahaja, pada tahun depan, Program Jualan Rahmah akan dilaksanakan dua kali setiap bulan di setiap kawasan DUN. Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) juga akan terus dilaksanakan pada setiap perayaan,” katanya.
Mengenai pembinaan Klinik Desa Kawasan Kampung Lihak-Lihak di Semporna, James berkata, JKNS telahpun merancang untuk membina Klinik Kesihatan (KK) Jenis 5 di bawah RMK13, di mana tapak klinik berkenaan seluas sembilan ekar telahpun dikenal pasti dan permohonan tanah sedang dalam proses.
Berkenaan KK Sungai Tamang di Pulau Sebatik katanya, ia merupakan KK terdekat bagi penduduk Kg. Serudong Laut yang hanya boleh diakses menggunakan pengangkutan laut.
“Klinik ini beroperasi setiap hari dengan kehadiran dua orang pembantu pegawai perubatan dan dua orang jururawat.
“Walau bagaimanapun, KK ini telah roboh pada tahun 2012 memandangkan bangunan telah usang dan isu mendapan tanah.
“Buat masa ini, klinik ini beroperasi di bangunan Pejabat UPPM sebagai penyelesaian jangka pendek sementara menunggu pembinaan KK Sebatik baharu yang telah diluluskan di bawah RMK11,” katanya.
Sebagai tambahan, ujar James, panggilan kecemasan pada waktu malam akan dikendalikan oleh pasukan petugas atas panggilan.
“Lawatan pegawai perubatan dua kali sebulan dan pakar perubatan keluarga sekali sebulan juga dilaksanakan bagi menangani kes-kes lebih kompleks.
“Pihak JKNS telah merancang untuk menyediakan operasi klinik bergerak bagi membolehkan penduduk di kawasan ini turut menikmati perkhidmatan kesihatan,” katanya.
James berkata, JKNS juga sentiasa memantau masa menunggu di jabatan kecemasan serta jabatan pesakit luar hospital.
“Inisiatif-inisiatif seperti klinik rawatan “extended hours” dan klinik rawatan pesakit selepas waktu pejabat telahpun dilaksanakan untuk mengurangkan masa menunggu rawatan, terutamanya semasa waktu luar pejabat.
“Bagi Klinik Kesihatan Awam pula, JKNS juga telah mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan masa menunggu di klinik kesihatan seperti Pengurusan Sistem Temujanji dengan menggunakan aplikasi MySejahtera.
“Selain itu Pengelasan Temujanji iaitu tetapan khusus untuk perkhidmatan seperti pemeriksaan kesihatan rutin dan rawatan penyakit kronik; Pemantapan Pengurusan Kaunter Pendaftaran dengan pengasingan kaunter; Penggunaan Sumber Tenaga Kerja yang Maksimum; dan Penambahbaikan Proses Kerja iaitu Sistem Triage yang Cekap, turut dilaksanakan,” kata beliau.
James memberitahu, terdapat empat unit hemodialisis dan dua orang kakitangan yang bertugas di Unit Hemodialisis Klinik Kesihatan Tungku.
Pada masa ini, katanya, unit tersebut beroperasi dalam satu syif dari 7 pagi hingga 2 petang memberikan rawatan kepada lapan orang pesakit.
“Bagi meningkatkan kapasiti perkhidmatan, penyelarasan penempatan kakitangan perlu dilaksanakan bagi mendapatkan tambahan empat orang kakitangan yang akan dilatih untuk mengendalikan rawatan,” katanya
































