Stuart Wilkin
PETALING JAYA: Tonggak Harimau Malaya Stuart Wilkin melaungkan keyakinan untuk meledak lebih banyak gol pada perlawanan persahabatan menentang Laos dan India.
Menurut Utusan Malaysia, Wilkin mengakui ketika ini dia berada dalam prestasi terbaik dan sudah tidak sabar untuk beraksi dengan cemerlang termasuklah membantu skuad Harimau Malaya meraih keputusan positif pada dua pertemuan itu.
“Ya saya rasa berada dalam keadaan terbaik kerana awal musim lalu sukar untuk saya kerana mengalami kecederaan yang tidak pernah saya alami sebelum ini dan sudah pastinya dengan kembalinya saya harap dapat menyumbang kepada pasukan terutamanya untuk skuad negara.
“Saya ingin tambah lagi gol dan bantuan gol untuk skuad negara dan ini adalah beberapa perkara yang saya fikirkan untuk perlawanan menentang Laos dan India,” katanya.
Dalam pada itu, Wilkin berkata ketiadaan Natxo Insa sememangnya dirasai pasukan namun kehadiran Zhafri Yahya sebagai pengganti mampu memberi impak kepada pasukan kebangsaan.
“Ketiadaan Natxo akan dirindui kerana beliau seorang pemain yang berkualiti tapi Zhafri masuk menggantikan beliau juga seorang pemain yang bagus biarpun posisi yang sedikit berbeza namun seorang pemain yang mampu memberi sumbangan buat pasukan,” ujarnya.
Selain itu, Wilkin berkata dia dan rakan sepasukan banyak belajar daripada perlawanan persahabatan sebelum ini menentang New Zealand yang menyaksikan skuad negara tewas 4-0.
“Bagi saya ia perlawanan di tempat lawan yang sukar kerana menentang sebuah pasukan yang cukup berkualiti dan saya berpandangan kedudukan ranking tidak mencerminkan bagaimana bagusnya sesebuah pasukan.
“Jadi banyak yang kami belajar yang mana kami menonton semula video analisis untuk perbaiki kelemahan sebelum dua aksi akan datang ini,” jelasnya.
Skuad Harimau Malaya bakal mengharungi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Laos hari ini sebelum terus terbang dari Bangkok ke Hyderabad untuk perlawanan menentang India pada Isnin ini.