JAKARTA: Beberapa syarikat penerbangan menyambung semula perkhidmatan ke Bali hari ini, selepas membatalkan perjalanan ke dan dari pulau peranginan Indonesia itu akibat letusan besar di gunung berapi berhampiran.
Menurut Utusan Malaysia, Pengurus Besar Lapangan Terbang Antarabangsa Bali memaklumkan, sebanyak 83 laluan antarabangsa dibatalkan semalam, selepas Gunung Lewotobu Laki-Laki memuntahkan debu setinggi sembilan kilometer ke udara.
Gunung berapi tersebut meletus lebih 12 kali sejak dua minggu lalu, membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang dan memaksa ribuan yang lain berpindah.
Qantas Australia dalam satu kenyataan berkata, pihaknya dan Jetstar menyambung semula perkhidmatan mereka ke Bali.
Katanya, dua penerbangan Qantas yang tertangguh dari Rabu termasuk dalam penerbangan yang dijadualkan berlepas.
“Kami akan terus memantau keadaan yang berubah dan aktiviti gunung berapi,” kata kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, AirAsia merancang untuk menyambung semula beberapa penerbangan ke dan dari Bali lewat hari ini, kata syarikat tersebut kepada AFP.
Manakala, Virgin Australia memaklumkan di laman webnya bahawa penerbangan ke dan dari Denpasar akan bermula hari ini.
Syarikat penerbangan Singapura, Scoot memaklumkan ia menjadualkan semula penerbangan dari Singapura ke Bali dan Surabaya, termasuk penerbangan balik, disebabkan aktiviti gunung berapi Lewotobi Laki-Laki.
Setakat pukul 3 pagi (waktu tempatan) hari ini, lapangan terbang Bali merekodkan 32 lagi pembatalan penerbangan antarabangsa, kata pengurus besar, Ahmad Syaugi Shahab.
“Kami berharap penumpang penerbangan yang terjejas dapat meneruskan perjalanan mereka pada Khamis,” katanya.
























