Kenneth Jonassen (kanan) antara calon untuk mengisi kekosongan jurulatih badminton perseorangan negara.
PETALING JAYA: Sama ada bekas pengendali skuad Denmark, Kenneth Jonassen merupakan calon pilihan jurulatih badminton perseorangan negara akan terjawab pada 25 November ini.
Menurut Utusan Malaysia, Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V. Subramanian berkata, badan induk berkenaan enggan membuat keputusan terburu-buru, sebaliknya memilih calon yang terbaik untuk kem perseorangan negara.
“Pada 25 November, kami akan membuat pengumuman. Semuanya hampir dimuktamadkan biarpun masih ada beberapa perkara kami perlu diselesaikan ketika ini.
“Kami enggan melengahkan masa, namun kami juga tidak mahu tergesa-gesa. Setiap perkara dan aspek harus dipertimbangkan untuk memastikan pilihan terbaik untuk pemain kebangsaan kami,” kata Subramaniam.
Jonassen akan menjadi watak penting untuk menghidupkan kembali pemain perseorangan negara selepas kariernya ‘membina’ bekas pemain No. 1 dunia, Viktor Axelsen.
Di bawah kendaliannya, Axelsen berjaya meraih pingat emas Olimpik untuk julung kalinya di Tokyo 2021 selain merangkul gelaran dunia pada 2017 di Glasgow, Scotland.
Bekas pemain Denmark itu menghangat kerusi panas di Akademi Badminton Malaysia (ABM) selepas enggan melanjutkan kontraknya yang akan tamat hujung bulan ini bersama pasukan negaranya selepas hampir 11 tahun berkhidmat.
Menurut senarai pemain bagi musim 2025, Jonassen akan membimbing empat pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Justin Hoh, Eogene Ewe dan dua lagi pemain dari skuad remaja.
Kem perseorangan wanita negara pula akan menjadi murid Jonessen iaitu, K. Letshanaa, Wong Ling Ching, Oo Shan Zi dan Siti Zulaikha Azmi.
Difahamkan, Jonassen akan menjadi calon utama BAM untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki dan wanita.
Bagaimanapun, jurulatih berusia 50 tahun itu harus ‘berlumba’ untuk mendapatkan jawatan itu bersama tiga lagi calon iaitu, Mulyo Handoyo dari Indonesia, Fernando Rivas dari Sepanyol dan jurulatih Lee Zii Jia, Wong Tat Meng.
Jika terpilih, Jonassen akan diberikan kontrak selama empat tahun iaitu sehingga Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028 melabuhkan tirainya.


























