Beberapa anggota bomba terpaksa menggunakan kren untuk mengangkat sebuah kontena yang terjatuh dari treler sehingga menghempap kereta di Jalan Kebun Sireh, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
BUKIT MERTAJAM : Polis menahan seorang lelaki tempatan yang juga pemandu treler susulan kemalangan membabitkan lima buah kenderaan sehingga menyebabkan seorang wanita maut di Jalan Kebun Sireh di sini, pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pemandu treler berusia 51 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut.
“Saringan awal ujian ‘urine’ (air kencing) dan alkohol telah dilakukan ke atas pemandu terbabit, namun, didapati negatif.
“Justeru, permohonan tahanan reman ke atas pemandu treler akan dipohon di hadapan Majistret Mahkamah Bukit Mertajam dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini, hari ini.
Selain meragut satu nyawa, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi melibatkan sebuah treler kontena, lima buah kereta dan sebuah lori itu turut menyebabkan seorang lelaki mengalami kecederaan.
Mengulas lanjut, Helmi memberitahu, kemalangan tersebut dipercayai berlaku semasa kesemua lima buah kereta dan sebuah lori dari Jalan Kebun Sireh itu sedang berhenti di lampu isyarat simpang tiga di Jalan Bukit Tengah.
“Sebuah treler kontena dari Jalan Bukit Tengah secara tiba-tiba datang dan membelok ke kiri memasuki Jalan Kebun Sireh. Treler itu kemudian hilang kawalan sehingga muatan kontena yang dibawanya menghempap dua buah kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat terbabit.
“Dua buah kenderaan yang dihempap treler berkenaan telah bergerak ke belakang dan berlanggar dengan tiga buah kereta lain dan sebuah lori.
“Salah seorang pemandu wanita yang berusia 21 tahun telah disahkan meninggal di tempat kejadian manakala seorang lagi pemandu kereta yang mengalami kecederaan menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang memaparkan treler dari arah bertentangan membelok sehingga menyebabkan muatan kontena menghempap deretan kenderaan yang berhenti di lampu isyarat.