KOTA MARUDU: Lembaga Koko Malaysia (LKM) telah menganjurkan Kursus Teknologi Pasca Tuai Koko Zon Pantai Barat Utara Sabah (PBU) di sini kelmarin dirasmikan oleh Ketua Pengarah LKM, Datuk Dr. Ramle Haji Kasin, kursus selama dua hari ini bertujuan untuk memperkukuhkan pengetahuan dan kemahiran pekebun kecil koko dalam teknologi pengurusan pasca tuai, khususnya bagi meningkatkan kualiti biji koko serta nilai pasaran produk koko tempatan.
LKM dalam kenyataan memaklumkan, kursus memberi penekanan terhadap Amalan Pertanian Baik (GAP) bagi menghasilkan biji koko yang berkualiti tinggi dan memenuhi permintaan industri hiliran yang semakin meningkat terhadap koko berperisa unik dan bertaraf premium, seperti yang digambarkan dalam istilah ‘single origin’ dan ‘fine flavor’.
“Pendekatan ini menggandakan nilai pasaran koko tempatan, sekaligus meningkatkan pendapatan pekebun kecil di kawasan ini.”
Seramai 80 pekebun kecil di bawah seliaan LKM Unit PBU serta para peserta dari kawasan pedalaman seperti Ranau turut menyertai kursus ini, memperlihatkan komitmen kukuh mereka dalam memajukan sektor koko negara.
Selain menyediakan pelbagai program pembangunan modal insan dan pemindahan teknologi, LKM turut mengorak langkah dengan membangunkan Portal E-Cocoa yang
membantu mempermudah urusan antara pekebun kecil koko, pemain industri serta LKM melalui platform digital.
LKM menggesa para peserta kursus untuk meningkatkan pengeluaran biji koko berikutan harga koko yang tinggi pada masa kini iaitu sekitar RM18 hingga RM23 sekilogram, berbanding RM8 sekilogram pada tahun sebelumnya.
Kursus ini juga menyampaikan maklumat program pembangunan integrasi koko dan tanaman lain, pembangunan kawasan baru serta pembangunan mini fasiliti pemprosesan koko di kelompok tani, termasuk dua yang baru dibina di Kg. Goshen dan Kg. Marak Parak, Kota Marudu.






























