Tun Juhar memetik gitar membawakan instrumental lagu Angin Malam.
KOTA KINABALU: Petikan gitar oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dengan lagu, Angin Malam secara instrumental membuat penonton teruja.
Tun Juhar yang diiringi band Irama Seri Kinabalu membawa penonton mengimbau ke zaman 70-an menerusi dendangan tiga buah lagu lagi secara medley iaitu ‘One Night’ yang dipopularkan oleh Elvis Presley,‘A Whiter Shade Of Pale’ dendangan asal Procol Harum dan Angin Malam oleh bintang lagenda, Broery Marantika.
Selain itu, nyanyian penuh bertenaga anakanda Tun Juhar, Datin Al Hanna Surya membawakan lagu ‘Unchained Melody’, Sinaran, Buwan dan ‘I Wanna Dance With Somebody’ menarik perhatian penonton untuk turut serta menyanyi.

Tun Juhar (tengah) bersama isteri (tujuh kanan) memotong kek sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-71 disaksikan para dif jemputan kehormat.
Turut menghiburkan tetamu, artis kelahiran Sabah, Azharina Azhar dengan dendangan dua buah lagu iaitu Tak Ingin Sendiri dan Seiring dan Sejalan duet bersama Setiausaha Perhubungan Tuan Yang Terutama, Datuk Rashid Mohd Tahir.
Artis jemputan, Datuk Khatijah Ibrahim turut tampil membuat persembahan dengan membawakan lagu Doa Buat Kekasihberpadu suara dengan Rashid.
Gerakan tari daripada Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Sabah, APC Dancers dan Ala Panggong DBKK menceriakan suasana majlis dengan tarian bertemakan budaya Sabah yang sekaligus menjadi persembahan penutup majlis tersebut.
Hadir memeriahkan majlis, Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr, Safar Untong, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Sri Rosli Isa dan Mayor DBKK, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah.
































