Hajiji semasa sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat AMT Gagasan Rakyat di SICC Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk membincangkan proses agihan kerusi dengan rakan-rakan komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Menurut Utusan Malaysia, Presidennya, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Masidi Manjun sebagai wakil Gagasan Rakyat yang akan duduk berbincang dengan rakan-rakan parti komponen lain dalam GRS termasuk parti yang mendukung kerajaan iaitu Pakatan Harapan (PH) Plus.
Beliau yang juga Ketua Menteri berkata, mereka akan memberi fokus kepada perbincangan dengan rakan-rakan di dalam kerajaan terlebih dahulu.
“Tetapi, ini tidak bermakna kita menutup pintu kepada parti-parti lain yang turut mendukung Kerajaan Perpaduan. Kita sentiasa terbuka dan boleh berincang. Apa yang penting adalah kebaikan negeri ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gagasan Rakyat, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.
Ditanya tentang tarikh akhir agihan kerusi, Hajiji berkata, tiada sebarang tarikh ditetapkan kerana pilihan raya pun dapat dipastikan.
Mengulas lanjut katanya, mesyuarat hari ini diadakan bagi berbincang tentang persiapan untuk mengadakan Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat pada 8,9 dan 10 November ini.
Hajiji berkata, seramai 5,000 hingga 6,000 orang perwakilan dan pemerhati dijangka hadir pada persidangan selama tiga hari yang akan diadakan di SICC.
































