Dr. Joachim (dua dari kanan) melepaskan konvoi berbasikal yang diketuai oleh Toh Puan Norlidah.
KOTA KINABALU: Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M. Jasni mengetuai 1,000 pengayuh basikal sejauh 22.5km.
Acara berbasikal Bersama TYT Sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-71 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin itu dilepaskan oleh Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam di Padang Merdeka seawal jam 7.00 pagi.
Sepanjang acara berbasikal melalui perjalanan sejauh 22.5km.
Kayuhan itu bermula di Padang Merdeka melalui dua perhentian (pit stop) iaitu di Jalan Lintas Kepayan berhadapan Kompleks Kementerian Komunikasi dan di Pantai Tanjung Aru.
Di perhentian kedua, Toh Puan Norlidah turut sempat melakukan aktiviti penanaman pokok jenis sea grape di Pantai Tanjung Aru sebagai simbolik di samping mempromosikan aktiviti kesihatan melalui kayuhan basikal, aktiviti penjagaan alam sekitar turut ditonjolkan dalam acara kali ini.
Toh Puan Norlidah (empat dari kiri) menyempurnakan aktiviti tanaman pokok di perhentian kedua.
Setibanya di Padang Merdeka, para pengayuh dihidangkan dengan jamuan sambil dihiburkan dengan persembahan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, di samping persembahan live band istimewa oleh warga Istana Seri Kinabalu, Irama Simfoni Kinabalu.
Tun Juhar Mahiruddin seterusnya menyempurnakan majlis memotong kek dan cabutan tiket bertuah di Astaka Padang Merdeka, sebelum beredar meninggalkan majlis.
Tun Juhar (lima dari kiri) memotong kek sempena Hari Ulang Tahun Rasmi TYT Ke – 71.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Mayor DBKK Datuk Seri Dr Sabin Samitah, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Richard Yong dan Brigadier Jeneral Datuk Al Hambra Tun Juhar juga Pembantu Menteri Kewangan Tan Lee Fat.