Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Khazanah Nasional Berhad diarah menjalankan audit dalaman bagi menyiasat kerugian pelaburan membabitkan FashionValet Sdn. Bhd. (FashionValet) bernilai RM43.9 juta.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, arahan tersebut adalah sebahagian tindakan untuk mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih baik dalam 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Selaku pengerusi, saya mengarahkan Khazanah Nasional Berhad untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat permasalahan terkait kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta baru-baru ini.
“Arahan tegas ini adalah sebagai memaknai pengumuman saya sebelum ini yang mengarahkan Jabatan Audit Negara (JAN) melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih baik.
“Tindakan ini juga bagi memastikan semua syarikat berkenaan memenuhi tuntutan tanggungjawab dan fungsi masing-masing,” kata beliau dalam kenyataan semalam.
Terdahulu, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023. Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat oleh Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.
Di Butterworth Anwar turut bertegas berkata, beliau tidak akan menghalang siasatan terhadap Khazanah dan kontroversi dalam Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sehingga pengantungan perlembagaan pertubuhan itu.































