Azam Baki
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan, pihaknya menjalankan siasatan secara profesional dan adil bagi semua pihak yang terlibat berhubung kes projek 1BestariNet.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, dalam menjalankan siasatan ini, SPRM akan mematuhi proses yang sewajarnya.
Memandangkan siasatan masih berlangsung, beliau menyeru semua pihak untuk tidak membuat spekulasi, namun pihaknya berusaha untuk mempercepatkan siasatan sebaik mungkin.
“Kami juga akan mempertimbangkan pembelaan yang dikemukakan oleh YTL Communications (YTL).
“Pada masa ini, adalah terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan kerana siasatan ini melibatkan pertikaian teknikal berkaitan penyampaian projek antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan YTL Communications,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, dalam kenyataan rasmi YTL Power International Berhad kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebarkan tuduhan berniat jahat berkaitan siasatan yang sedang dijalankan SPRM berhubung projek 1Bestarinet.
Kumpulan itu mendakwa bahawa tuduhan salah laku yang membawa kepada penyiasatan adalah sangat serius dan menjejaskan reputasinya, sedangkan mereka melaksanakan obligasi kontrak kepada Kerajaan Malaysia dengan tekun sejak projek itu dimulakan.
YTL mendakwa bahawa ia tidak melanggar mana-mana syarat kontrak dan tidak melanggar mana-mana undang-undang.
Konglomerat itu menambah, walaupun telah bekerjasama dengan pihak berkuasa, ia telah mengalami persepsi negatif daripada tuduhan salah laku pihak tertentu.
Situasi ini adalah tidak adil kerana menghalang keupayaan YTL untuk mempertahankan diri daripada naratif yang berlaku.
Pada 4 September lalu, SPRM memulakan siasatan terhadap tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet KPM bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL pada 2011.
Susulan itu, SPRM telah membuat penggeledahan di pejabat kerajaan dan pejabat YTL dan sejumlah dokumen disita.
Siasatan SPRM itu menjurus kepada mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi butir matan palsu melibatkan pembayaran kira-kira RM2.7 bilion.