Redonah menyerahkan barangan keperluan asas kepada salah seorang penerima di Kota Marudu.
KOTA MARUDU: Biro Pembangunan Wanita dan Keluarga telah menganjurkan Program Ziarah Sayang dengan kerjasama Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bandau, di sini, kelmarin.
Program Ziarah Sayang ini telah menziarahi 50 penerima di Kampung Tanjong Batu Darat dan Kampung Komoroko.
Program itu diketuai Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda dengan disertai Pengerusi Biro Pembangunan Wanita dan Keluarga, Masturah Jamrah, Pengerusi Biro IT dan Media, Julia Ahmad Bahrom Titingan, Pengerusi Biro Pendidikan, Jalilah Ahpiang, Ketua Wanita Gagasan Rakyat Likas, Halizah Din serta ahli-ahli Wanita Gagasan Rakyat Bandau.
Redonah berkata, program tersebut bertujuan untuk mendekati kumpulan sasar yang terdiri daripada fakir miskin, orang kurang upaya (OKU), balu dan warga emas.
“Program ini memberi maksud yang cukup baik dengan penganjuran aktiviti ziarah ke rumah-rumah golongan ini,” katanya.
“Program Ziarah Sayang ternyata memberi kesan yang mendalam kepada golongan berkenaan sejajar dengan hasrat Kerajaan bagi membentuk masyarakat penyayang,” tambahnya.
Beliau turut berharap program seumpama ini diperbanyakkan lagi pada masa hadapan kerana ia juga mampu mengeratkan hubungan baik antara pemimpin dan rakyat.
“Saya juga menggalakkan mana-mana syarikat milik kerajaan mahupun syarikat korporat untuk bersama-sama menghulurkan bantuan serta sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik ini,” katanya.
Jelas beliau, program Ziarah Sayang adalah merupakan gerak kerja berterusan di seluruh Sabah. Bukan sahaja mengunjungi orang yang sakit dan warga emas tetapi menemui ahli keluarga yang juga adalah pengundi.
Barangan keperluan asas turut disumbangkan kepada 50 keluarga tersebut.

































