Razarudin Husain
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memulakan siasatan berhubung kewujudan kumpulan pengantunan kanak-kanak atau sexual grooming di akaun media sosial.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dimulakan Unit Siasatan Jenayah Internet Terhadap Kanak-Kanak Malaysia (Micac) Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman selepas menerima maklumat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Jumaat lalu.
Kata beliau, maklumat diterima memaklumkan mengenai akaun media sosial aplikasi X berkaitan sexual grooming.
“Hasil semakan Micac D11, mendapati hantaran terbabit memaparkan tangkap layar sebuah akaun kumpulan Facebook berkaitan isu terbabit.
“Unit Micac D11 sudah memulakan proses risikan atas talian dan turut menyalurkan beberapa maklumat suspek kepada pihak MCMC untuk dibuat profiling awal sementara risikan atas talian diteruskan untuk menimbulkan elemen yang lebih kukuh mengenai kesalahan seksual terhadap kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi di sini.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, bahagian D11 bersama MCMC kini sedang menjalankan risikan dan siasatan lanjut ke atas maklumat itu.
Terdahulu, media melaporkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengesahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ada menerima aduan mengenai kewujudan kumpulan pengantunan kanak-kanak itu di akaun media sosial.
Beliau berkata, MCMC sedang bekerjasama dengan Meta dan D11 PDRM untuk menjalankan siasatan lanjut.
PDRM juga akan mengenal pasti jenis aktiviti yang sedang berlangsung dalam kumpulan tersebut dan jika terdapat sebarang kesalahan, tindakan akan diambil.
MCMC selaku agensi teknikal akan membantu dalam pemeliharaan data dan profil akaun berkenaan.