Japlin menyerahkan kunci Rumah Mesra SMJ kepada salah seorang penerima di Kota Belud.
KOTA BELUD: Pembinaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri merupakan satu usaha bagi membantu rakyat memperoleh kediaman yang lebih selesa.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Usukan, Datuk Japlin Akim berkata, pembinaan itu juga merupakan salah satu usaha Kerajaan bagi membasmi miskin tegar.
Beliau berkata, isu perumahan sememangnya merupakan satu isu yang menjadi perhatian umum.
“Pembinaan Rumah Mesra SMJ adalah usaha oleh Kerajaan bagi menangani masalah perumahan rakyat terutama kepada golongan berpendapatan rendah seperti B40,” tambahnya.
Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif untuk manfaat rakyat itu sejajar dengan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam membela nasib rakyat dan membawa pembangunan di negeri ini.
Japlin berkata demikian pada penyerahan kunci Rumah Mesra SMJ di Kampung Pirasan, Kg.Kulambai Dundau, Kg. Ambong, Kg. Lantiggi, Kg. Kulambai, Kg. Kulambai Kupang dan Kg. Kuala Abai, Kg. Kota Belud dan Kg. Suang Pungur, di sini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor baru-baru ini mengumumkan bahawa sebanyak 3,000 buah Rumah Mesra SMJ akan dibina di kesemua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun depan, melibatkan kos sebanyak RM250 juta.






























