Pertunjukan dron luar biasa membantu syarikat Damoda memecah dua rekod dunia.
Penduduk di Shenzhen pasti merindukan pertunjukan cahaya dron menakjubkan yang menerangi langit malam bandar itu selama seminggu ketika sambutan Hari Kebangsaan di China baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, armada besar 10,197 dron yang mencipta paparan ‘bunga api siber’ luar biasa itu turut membantu syarikat Damoda memecah dua rekod dunia.
Syarikat pengeluar teknologi canggih itu berjaya memperoleh gelaran Guinness World Records bagi jumlah tertinggi operasi dron bawaan udara serentak dari satu komputer dan imej udara terbesar yang dicipta oleh dron.

Acara yang bermula pada 26 September itu menyaksikan sekumpulan dron digerakkan untuk membentuk corak rumit hingga membuatkan seluruh bandar terpaku.
Paparan tersebut menggabungkan inovasi unsur-unsur warisan budaya Shenzhen yang diilhamkan oleh seni mempertahankan diri Wing Chun bagi mewakili sejarah bandar dinamik itu.
Kemuncak persembahan itu adalah adegan ‘Sky City’, di mana beribu-ribu dron bergerak dengan selaras untuk mencipta tontonan udara seakan bandar terapung yang cukup mempesonakan.
Video persembahan unik itu dengan pantas tular di media sosial, mendedahkan bagaimana dron boleh mencipta visual indah di udara.

HANYA sebuah komputer digunakan untuk mengawal 10,197 dron yang berterbamgan.






























