JAKARTA: Presiden baharu Indonesia, Prabowo Subianto menyeru semua rakyatnya bersatu dengan semangat demokrasi tanpa sikap hipokrit dan berjanji untuk membebaskan mereka daripada kemiskinan serta penindasan sejurus mengangkat sumpah jawatan semalam.
Menurut Utusan Malaysia, beliau turut menegaskan setiap pemimpin yang dilantik itu bukannya bekerja untuk diri sendiri mahupun keluarga sebaliknya harus berusaha keras menabur bakti untuk kesejahteraan rakyat.
“Kita mahukan demokrasi yang sesuai dan datang dari sejarah dan budaya kita, demokrasi mesti bersopan, demokrasi mesti ada perbezaan pendapat tanpa permusuhan atau cercaan.
“Kita harus selalu ingat setiap pemimpin di semua peringkat harus selalu ingat pekerjaan kita harus untuk rakyat. Kita harus selalu sedar bahawa bangsa yang merdeka adalah bangsa di mana rakyatnya merdeka.
“Dengan penuh rasa tanggungjawab dan dengan segenap kekuatan jiwa dan raga, kami akan menjalankan kepimpinan dengan mengutamakan kepentingan seluruh rakyat Indonesia, termasuk mereka yang tidak mengundi kami,” katanya.
Prabowo dan Timbalannya, Gibran Rakabuming Raka dilantik secara rasmi untuk mengemudi Indonesia sepanjang tempoh 2024 hingga 2029 dalam Sidang Pleno Majelis Permusyawaratan Rakyat (MPR) Indonesia di Bangunan Nusantara, Kompleks Parlimen di Senayan Sabtu.
Kedua-duanya mereka disambut oleh lautan manusia yang menunggu di sepanjang laluan di Jakarta Pusat dan Prabowo dilihat sempat bersalaman dan menyapa penyokongnya dari kereta Maung Garuda Indonesia 1 yang dinaikinya.
Dalam pidato perdana selepas perlantikannya, Prabowo turut mengucapkan terima kasih kepada semua presiden Indonesia, dari Presiden Sukarno hingga Joko Widodo.
Prabowo juga sempat memuji sikap kepimpinan Jokowi sepanjang menerajui negara itu sedekad lalu dan usahanya menangani permasalahan rakyat ketika pandemik Covid-19.
Dalam pada itu, Prabowo turut menyatakan sokongan penuh Indonesia kepada rakyat Palestin dan akan meneruskan usaha Jokowi menghantar bantuan kemanusiaa kepada pendududuk di Gaza yang berdepan kekejaman tentera Israel.
“Kita ada prinsip, prinsip kita anti penjajah kerana kita pernah berdepan penjajahan. Kita anti penindasan kerana kita telah ditindas. Kita juga anti perkauman dan anti apartheid kerana kita pernah mengalaminya.
“Pasukan perubatan Indonesia berada di beberapa lokasi di Semenanjung Gaza, bersama-sama dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Kita akan terus menghantar lebih banyak bantuan ke Palestin, termasuk memindahkan kanak-kanak dan mangsa yang cedera,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Dewan Perwakilan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) Puan Maharani berkata, tiada ahli parti itu dilantik menjadi menteri dalam kabinet Prabowo tetapi pihaknya akan terus menyokong kerajaan yang dibentuk.






























