Gambar Hiasan
PETALING JAYA: Belanjawan 2025 dibentangkan semalam adalah yang pertama kali tidak ‘mengejutkan’ golongan B40 dan M40 dengan pengenalan cukai baharu yang membebankan.
Sebaliknya, belanjawan ketiga Kerajaan Madani dengan tema ‘Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahterakan Rakyat’ mencerminkan kesungguhan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyiapkan Malaysia menuju ke negara maju.
Menurut Utusan Malaysia, penganalisis Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, Belanjawan 2025 dibentangkan Anwar merupakan perancangan kondusif kerajaan menuju ke negara berpendapatan tinggi.
Katanya, perkara ini dibuktikan dengan beberapa inisiatif termasuk menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 daripada RM1,500 sebelum ini.
“Pada masa sama, Belanjawan 2025 bukan sahaja mempersiapkan Malaysia menuju ke negara berpendapatan tinggi malah turut mempersediakan seluruh masyarakat menuju ke negara berusia dengan pelbagai pelepasan cukai penjagaan warga emas.
“Jika dilihat secara terperinci, dua sektor diberi perhatian penting iaitu pendidikan dan kesihatan yang mendapat peruntukan tertinggi. Kedua-dua sektor ini memberi pulangan jangka masa panjang kepada negara,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025, Anwar mengumumkan peruntukan sebanyak RM64.1 bilion kepada Kementerian Pendidikan berbanding RM58.7 bilion tahun ini.
Selain itu, Kementerian Kesihatan juga menerima peruntukan kedua tertinggi iaitu RM45.3 bilion berbanding RM41.2 bilion pada tahun ini.
Baharom berkata, beliau secara peribadi juga gembira dengan Belanjawan 2025 apabila golongan B40 dan M40 tidak ‘dikejutkan’ dengan cukai baharu yang membebankan.
Bahkan, beliau berkata, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) juga dinaikkan sekali gus meringankan kos sara hidup golongan yang layak.
Katanya lagi, cukai baharu diperkenalkan adalah tidak membabitkan golongan B40 dan M40 sebaliknya mensasarkan kumpulan T15 apabila Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperluaskan kepada barangan premium seperti buah avacado dan ikan salmon.
“Cukai jualan tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas yang digunakan oleh rakyat, jadi golongan B40 dan M40 tidak akan terkesan dengan perluasan cukai SST diumumkan.
“Skop Cukai Perkhidmatan akan diperluas meliputi perkhidmatan komersial antaranya perniagaan seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berpandangan, Belanjawan 2025 kurang seimbang disebabkan beberapa faktor antaranya kurang memberi tumpuan inisiatif kepada warga emas.
Katanya, inisiatif diberikan hanya pelepasan dan pengecualian cukai, tidak fokus kepada perkara-perkara mensejahterakan golongan tersebut.
“Umpamanya menyediakan sektor pekerjaan fleksibel kepada warga emas yang masih boleh bekerja dengan waktu kerja minimum atau insentif bagi syarikat yang menggaji golongan itu seperti subsidi upah atau pelepasan cukai.
“Saya juga melihat kurang tumpuan diberikan kepada rumah penjagaan warga emas yang diabaikan keluarga. Penting untuk kerajaan melihat aspek ini secara serius,” katanya.
































