Zainon Kayum Khan
KOTA KINABALU: Sayap Wanita Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mengalu-alukan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan yang dibentangkan di Dewan Rakyat kelmarin.
Ketua Pergerakan Wanita PBRS, Datin Zainon Kayum Khan berkata, pindaan bersejarah itu, yang memperkenalkan perubahan penting kepada undang-undang kewarganegaraan Malaysia, menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam menggalakkan kesaksamaan gender dan menegakkan hak wanita di Malaysia.
Katanya, Sayap Wanita PBRS amat gembira dan berbesar hati kerana pindaan ini akan memastikan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing mempunyai kelayakan untuk mendapat kewarganegaraan secara automatik.
“Ia sekaligus selaras dengan hak kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan oleh wanita asing yang berkahwin dengan lelaki Malaysia. Pindaan ini jelas menangani ketidaksamaan yang telah lama wujud dan mengesahkan komitmen Malaysia terhadap keadilan dan kesaksamaan
untuk semua rakyatnya.
“Sokongan sebulat suara melebihi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, mencerminkan komitmen bersama semua Ahli Dewan Rakyat merentasi spektrum politik untuk membina masyarakat yang lebih inklusif dan saksama.
“Sayap Wanita PBRS menyokong penuh kejayaan ini dan menantikan kelulusan Rang Undangundang melalui Dewan Negara, Perkenan Diraja dan seterusnya pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian ini membuktikan usaha dan ketabahan orang ramai yang telah memperjuangkan pengiktirafan terhadap hak wanita.
“Ia juga merupakan peringatan tentang kepentingan untuk terus memperjuangkan dasar yang mencerminkan nilai-nilai keadilan, kesaksamaan dan kemajuan untuk semua rakyat Malaysia.
“Sayap Wanita PBRS teguh berdiri dan bersolidariti penuh dengan semua pihak yang telah bekerja tanpa jemu untuk pindaan ini, dan kami yakin bahawa perubahan ini akan memberi kesan positif yang berkekalan ke atas kehidupan ramai keluarga di negara kita.”
































