NEW DELHI: Doktor di sebuah hospital di New Delhi terkejut apabila menemukan seekor lipas hidup bersarang di dalam usus kecil seorang pesakit selepas dia mengadu sakit perut.
Menurut Utusan Malaysia, seorang lelaki berusia 23 tahun baru-baru ini datang ke Hospital Fortis, Vasal Kunj untuk mengadu masalah perut yang dialaminya sejak kira-kira tiga hari lalu.
Dia mengadu sakit perut yang teruk dan kesukaran untuk mencerna makanan hingga mengakibatkan kembung perut yang kerap.
Lelaki itu awalnya mengesyaki makanan yang dibeli di pasar malam beberapa hari sebelum itu menjadi punca masalah kesihatannya.
Doktor menjalankan Endoskopi Gastrointestinal Atas (GI) untuk mengetahui punca simptom lelaki itu akhirnya menemukan seekor lipas hidup sepanjang tiga sentimeter di dalam usus kecil lelaki itu.
“Sejak dua tiga hari lepas, pesakit mengalami senak dan kembung perut selepas makan. Semasa pemeriksaan rutin kami secara kebetulan ternampak lipas itu.
“Malah kami terkejut bagaimana lipas itu masih hidup dan tubuhnya kekal utuh di dalam usus lelaki itu,” kata Dr. Shubham Vatsya kepada akhbar Indian Express.
Pasukan doktor memutuskan untuk mengeluarkan lipas itu menggunakan endoskop dengan dua saluran infusi udara dan air.
“Kami mengaktifkan butang sedutan pada skop, dengan berkesan menarik lipas ke dalam saluran sedutan dan menyelamatkan nyawa lelaki itu,” kata Vatsya sambal menjelaskan kegagalan untuk mengeluarkan serangga itu secepat mungkin boleh menyebabkan komplikasi serius, termasuk penyakit berjangkit.
Pakar gastroenterologi India berkata, serangga itu mungkin merangkak masuk ke dalam kerongkong lelaki itu semasa tidur atau dia mungkin secara tidak sengaja menelannya ketika melawat pasar malam.
 


























