Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Sabah merupakan di antara lima negeri yang menerima sijil Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion) Ketua Audit Negara untuk Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2023 yang telah dikemukakan di antara Januari hingga Jun 2024.
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam kenyataan berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2024 mengenai Kerajaan dan Agensi Negeri yang dibentangkan di Parlimen berkata, lima negeri yang menerima sijil tersebut ialah Johor, Pahang, Perak, Sarawak dan Sabah.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasam Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pencapaian ini adalah bukti kepada tadbir urus kewangan yang kukuh dan ketelusan yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri Sabah.
“Di bawah Gabungan Rakyat Sabah Pakatan Harapan Plus (GRS-PH Plus), kita kekal komited untuk memastikan setiap dana awam diuruskan dengan bertanggungjawab. Pengiktirafan daripada Audit Negara ini membuktikan bahawa Sabah sememangnya berada di bawah kepimpinan yang baik dan stabil dari segi kewangan.
“Perlu saya tegaskan bahawa kejayaan ini tidak datang secara kebetulan. Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) adalah kunci utama kepada kemajuan dan kestabilan Sabah. Pelan ini memberi fokus kepada pembangunan yang menyeluruh dan berterusan, termasuk sektor ekonomi, sosial, dan infrastruktur, memastikan bahawa kita dapat memberikan peluang kepada semua lapisan masyarakat.
“Melalui pelan ini, kita tidak mengabaikan kepentingan untuk menggunakan dana awam ke tempat-tempat yang kritikal dengan cermat.
“Hakikat bahawa penyata kewangan Sabah telah diterima tanpa sebarang isu atau teguran menunjukkan bahawa kita berada di landasan yang tepat ke arah kestabilan fiskal dan pertumbuhan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nizam berkata, pencapaian itu juga mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan program pembangunan yang berpaksikan keperluan rakyat, serta komitmennya untuk memastikan kebajikan rakyat Sabah terjamin.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua jabatan, agensi dan pihak berkepentingan yang telah memainkan peranan dalam mengekalkan tahap akauntabiliti kewangan yang tinggi ini.
“Kerajaan Negeri akan terus mengutamakan kesejahteraan rakyat melalui pengurusan kewangan yang cermat dan memastikan Sabah kekal sebagai contoh tadbir urus yang baik di Malaysia,” kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri itu.






























