Dr. Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, sesiapapun boleh bertanding di mana -mana kawasan termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang, namun rakyat yang jadi penentu.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony yang ingin melancarkan ‘serangan’ bagi merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
“We are a democratic country where anyone is free to contest. Ultimately, it is the rakyat who chose who they want to represent in the State Legislative Assembly. (Kita adalah negara demokrasi di mana, sesiapa sahaja bebas bertanding. Akhirnya, rakyatlah yang memilih siapa yang mereka mahu mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri,” kata Dr. Joachim yang juga ADUN Kundasang dalam satu kenyataan media hari ini.
Timbalan Ketua Menteri II itu berkata, beliau bersama jentera pentadbiran dan task force PBS Kundasang akan terus bekerja dan memberikan khidmat kepada rakyat.
Menurut beliau, DUN Kundasang semakin pesat membangun termasuk dari segi pembangunan infrastruktur yang kini sedang dalam pembinaan termasuk naik taraf jalan raya dari Tarawas/Kaingaran dan dari Singgaron ke Mansalu, bekalan air bersih dari loji Pinawantai Mukim Timbua, bekalan air bersih loji Wayan Mukim Malinsau/Kaingaran dan hampir 85 peratus sudah mendapat bekalan elektrik.
“Manakala, projek kecil-kecilan lebih kurang 75 peratus setiap kampung sudah mendapat dewan mini.
“Saya akan pastikan semua jentera pentadbiran dalam DUN Kundasang memberikan khidmat terbaik dan melaporkan kepada saya secara terus memandangkan saya juga diperlukan di peringkat Kerajaan Negeri sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan,” katanya.
Beliau juga mahu semua pemimpin dan ahli PBS untuk terus kuat bekerja demi PBS kerana mereka berjuang bersama dan ia adalah untuk rakyat Sabah.
Dr. Joachim, yang merupakan penyandang kerusi DUN Kundasang, turut menegaskan bahawa beliau bersama Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBS berdiri teguh dengan pendirian akan kekal dalam Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri dan Pengerusi GRS Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.


































