Imej menunjukkan tasik besar terbentuk di tengah bukit pasir di Gurun Sahara.
RABAT: Imej menakjubkan dari Gurun Sahara menunjukkan tasik besar terbentuk di tengah bukit pasir, selepas banjir melanda kawasan paling kering dan gersang di dunia buat pertama kali dalam tempoh beberapa dekad.
Menurut Utusan Malaysia, Gurun Sahara adalah lokasi yang sememangnya mengalami hujan, tetapi kebiasaannya hanya beberapa inci setahun dan jarang berlaku pada akhir musim panas.
Bagaimanapun, pada September lalu, hujan lebat turut selama dua hari di beberapa bahagian padang pasir di tengah Maghribi, selepas sistem tekanan rendah merentasi barat laut Sahara.
Data awal satelit NASA menunjukkan hampir 8 inci hujan di beberapa kawasan dalam wilayah itu.
Errachidia, sebuah bandar gurun di tenggara Maghribi, mencatat hampir 3 inci hujan, kebanyakannya dalam tempoh dua hari sahaja bulan lalu.
Jumlah ini adalah lebih empat kali ganda daripada purata hujan bagi keseluruhan bulan September dan bersamaan lebih separuh jumlah hujan tahunan bagi kawasan tersebut.
“Sudah 30 hingga 50 tahun sejak kami menerima hujan sebanyak ini dalam tempoh yang singkat,” kata jurucakap Agensi Meteorologi Maghribi, Houssine Youabeb kepada AP minggu lalu.
Semasa hujan mengalir di kawasan padang pasir, ia mencipta landskap baharu yang dipenuhi air di tengah pokok palma dan tumbuhan renek.
Antara imej yang paling dramatik direkodkan dari pekan gurun Merzouga, di mana hujan lebat yang jarang berlaku membentuk tasik di tengah bukit pasir.
Taburan hujan juga mengisi tasik yang biasanya kering, seperti di Taman Negara Iriqui, yang terbesar di Maghribi.
Walaupun kebanyakan hujan turun di kawasan terpencil yang jarang penduduk, sebahagian hujan juga melanda bandar dan kampung di Maghribi, menyebabkan banjir maut bulan lalu yang meragut lebih 12 nyawa.
Sahara adalah padang pasir bukan kutub terbesar di dunia, meliputi kawasan seluas 9.3 juta kilometer persegi.


































