LONDON: Seorang lelaki Britain berputih mata melihat wang berjumlah 165,000 pound (RM925,612) miliknya lesap dari akaun perniagaan Revolut dan kecewa apabila langkah keselamatan syarikat perbankan digital itu gagal menghalang kecurian tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, lelaki yang hanya dikenali sebagai Jack berkata, penjenayah berjaya memintas proses pengesahan ID untuk mendapatkan akses kepada akaunnya.
Jack yang menjalankan perniagaan antarabangsa dan perlu memegang pelbagai mata wang berbeza memberitahu, dia diyakinkan oleh ciri keselamatan yang dipromosikan oleh Revolut dalam pengiklanan mereka.
Tetapi, pada Februari lalu, Jack menerima panggilan telefon daripada individu yang berpura-pura sebagai kakitangan Revolut.
Dia diberitahu akaunnya mungkin telah terjejas kerana menggunakan akses perkongsian wifi.
Jack telah ditipu untuk menyerahkan maklumat yang mencukupi bagi membolehkan penipu itu meletakkan akaun Revolut miliknya pada peranti mereka dan membelek sejarah transaksi dilakukannya termasuk pembelian di peruncit dalam talian Etsy pagi itu.
“Semasa saya masih bercakap dengan penipu itu, mesej teks daripada Revolut masuk, meminta untuk mengesahkan jumlah sama yang saya belanjakan dengan menaip kod keselamatan enam digit.
“Saya mengakuinya dan membacakan kod itu kepada penipu itu.
“Tanpa saya sedar, penipu itu sudah menyediakan akaun mereka sendiri dipanggil Etsy dan dengan berkongsi kod yang dihantar Revolut, saya membenarkan pembayaran baharu ke akaun palsu mereka,” katanya.
Dua teks serupa diterima untuk membenarkan pembayaran jumlah kecil kepada dua akaun palsu lagi, yang dipanggil yuran Revolut dan penjagaan yuran Revolut.
Jack juga meluluskannya, menyebabkan dia telah ditipu untuk membenarkan tiga penerima bayaran baharu.
Jack berkata, sebaik sahaja menyedari telah ditipu, dia segera menghubungi Revolut tetapi tiada talian bantuan khusus, hanya fungsi sembang dalam aplikasi yang tersedia.
“Saya menghantar mesej kepada mereka memberitahu saya telah ditipu, meminta akaun saya segera dibekukan. Tetapi ia mengambil masa 23 minit untuk sampai ke jabatan yang betul dan pada masa itu 67,000 pound (RM375,704) lagi telah diambil,” jelasnya.
Setakat ini, Jack memberitahu Revolut enggan mengembalikan wang itu.
Menurut laporan BBC, Revolut telah dinamakan dalam banyak laporan penipuan pada tahun kewangan lepas berbanding mana-mana bank utama di United Kingdom (UK).
Firma e-kewangan yang belum lagi diberikan status penuh sebagai bank itu berkata, pihaknya mengambil serius kes penipuan dan mendakwa mempunyai kawalan teguh untuk memenuhi kewajipan undang-undang dan kawal selianya.
Revolut ialah antara beberapa institusi kewangan digital baharu yang menawarkan semua perkhidmatan mereka dalam talian atau melalui aplikasi tanpa sebarang cawangan untuk dikunjungi.
Firma itu berkembang pesat dan mengumpul lebih daripada 45 juta pelanggan di seluruh dunia, di mana sembilan juta daripadanya berada di UK.
Akaun boleh dibuka dengan pantas dan Revolut turut menawarkan kadar pertukaran asing yang kompetitif dalam aplikasi yang mudah digunakan.


































