Dr. Jeffrey (dua, kanan) menerima keahlian baharu semasa perasmian Pejabat STAR Bahagian Moyog di Penampang, hari ini.
PENAMPANG: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah memerlukan lebih banyak peruntukan dalam Belanjawan 2025 bagi menggerakkan program meningkatkan hasil padi dan pengeluaran makanan di negeri ini.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, memandangkan Lembaga Padi dan Beras Sabah telah diwujudkan semula maka, peruntukan diperlukan bagi meningkatkan hasil padi.
“Belanjawan untuk tahun depan, kita harap ada perubahan sebab kita tidak mahu apabila kita mengambil alih kerajaan, belanjawan kita begitu-begitu sahaja, tidak berubah, tiada rancangan baharu.
“Kali ini kita mahu belanjawan untuk Kementerian Pertanian bertambah, saya yakin ia akan bertambah sebab kita mahu menggerakkan agensi baharu iaitu Lembaga Padi dan Beras Sabah,” katanya selepas merasmikan Pejabat STAR Bahagian Moyog, hari ini.
Mengenai langkah kerajaan ingin menamatkan subsidi telur, Dr. Jeffrey berkata, mengambil kira sumbangan hasil Sabah yang banyak maka, keperluan menarik semula subsidi sebegitu perlu dipertimbangkan.
“Sabah dan Sarawak masih memerlukan subsidi kerana kita agak terkebelakang. Tidak adil subsidi kita ditarik sedangkan sumbangan hasil kita agak besar.
“Biarlah kita bersedia meningkatkan hasil dan keupayaan kita agar rakyat di negeri ini tidak lagi berada dalam kategori miskin tegar,” katanya.
Dr. Jeffrey berkata, kementeriannya juga bercadang untuk mewujudkan rangkaian Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah bagi membantu petani-petani tempatan memasarkan hasil pertanian mereka.
Katanya, setakat ini terdapat tujuh pusat pengumpulan hasil telah diwujudkan dan jumlah itu akan terus ditambah dengan sasaran setiap daerah akan mempunyai pusat pengumpulan hasil masing-masing.