MODEL kenderaan elektrik (EV) pertama jenama automotif nasional, Proton e.MAS 7 dipertontonkan kepada umum pada perarakan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 di Dataran Putrajaya.
PETALING JAYA: Model sulung kenderaan elektrik (EV) daripada pengeluar kereta nasional Proton e.MAS 7 akan memulakan perjalanannya merentasi semenanjung hingga ke Sabah dan Sarawak dengan jarak melebihi 2,000 kilometer (km).
Menurut Utusan Malaysia, pengembaraan epik ini akan meliputi semua negeri di Malaysia bermula pada 5 Oktober dan ia bukan sahaja mempamerkan kehebatan EV tersebut tetapi juga semangat Malaysia dalam kecemerlangan kejuruteraannya.
Proton berkata, Proton e.MAS 7 kini berada di dalam fasa akhir ujian dimana unit percubaan ini terus diuji dengan teliti bagi menyesuaikannya dengan keperluan pengguna Malaysia.
“Jelajah e.MAS 7 dibina atas kejayaan ‘Long Test Drive’ Geely E5 dari China ke Malaysia bagi membuktikan ketahanan dan kebolehpercayaan teknologi tersebut walaupun menghadapi cuaca buruk.
“Seterusnya, e.MAS 7 akan merentasi jalan raya di Malaysia sambil menikmati kepelbagaian makanan tempatan yang terkenal, bermula dari Negeri Sembilan dan berakhir di Sarawak pada 29 November,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Pro-NET, fasa pertama Jelajah e.MAS 7 membawa kenderaan EV ini menuju ke arah selatan melalui Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Jelajah ini disertai dengan persinggahan di stesen pengecasan dan tempat makan popular di mana orang ramai berpeluang melihat dan berinteraksi dengan e.MAS 7.
“Di sebalik luaran yang bercorak dengan menggunakan pelekat pembalut kereta dan rekaan moden yang menampilkan lampu belakang LED penuh serta pemegang pintu tersembunyi, ini dapat mengukuhkan lagi reka bentuk canggih global dan pemikiran daripada Proton,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, PRO-NET, Zhang Qiang berkata, jelajah e.MAS 7 adalah permulaan kepada perjalanan yang menarik bagi jenama ini kerana ia membawa reka bentuk yang gah dan unggul model EV pertama syarikat kepada orang ramai sambil menekankan kemajuan teknologi dan inovasi yang telah dicapai.
“Saya yakin pasukan jurutera kami akan mempercepatkan penyesuaian Proton e.MAS 7 dengan keadaan unik di Malaysia sambil menekankan komitmen PRO-NET dalam membina dan mengembangkan ekosistem EV tempatan,” katanya.
Untuk menarik penonton di setiap persinggahan jelajah dan menarik penyertaan, Jelajah Proton e.MAS 7 akan menampilkan seorang pengacara bergerak.
Di setiap negeri, seorang pempengaruh akan menyertai jelajah untuk berinteraksi dengan rakyat di lokasi makanan popular bagi mengeratkan hubungan dengan EV nasional pertama ini.
Di setiap fasa Jelajah Proton e.MAS 7 ini, kereta EV akan mengunjungi pusat Pengedar Proton e.MAS yang disertai oleh pempengaruh yang akan bekerjasama dengan pengacara untuk berinteraksi dengan orang ramai melalui pelbagai aktiviti.































