SHANGHAI: Seorang lelaki bertindak ganas dengan membunuh tiga orang dan mencederakan 15 lagi dalam serangan bersenjatakan pisau di sebuah pasar raya berdekatan bandar Shanghai, China, lapor polis pada Selasa.
Suspek yang berusia 37 tahun itu ditahan di lokasi kejadian tidak lama selepas insiden tersebut berlaku, menurut kenyataan daripada pihak polis tempatan.
Menurut Utusan Malaysia, polis memaklumkan lelaki tersebut bertindak demikian akibat kemarahan yang berpunca daripada pertikaian mengenai kewangan peribadi.
Tambah pihak polis, seramai 18 orang dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut dengan tiga daripada mereka disahkan meninggal dunia.
Seramai 15 lagi mangsa dilaporkan mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa.
Jenayah keganasan melibatkan penggunaan pisau bukan sesuatu yang luar biasa di China, di mana senjata api dikawal ketat.
Beberapa serangan serupa turut berlaku di sekolah-sekolah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kejadian sama turut berlaku Mei lalu di mana seorang lelaki membunuh lapan orang dan mencederakan seorang mangsa dalam serangan menggunakan pisau di bandar Xiaogan di Hubei.