Lima mangsa termasuk kanak-kanak tiga tahun ditemukan rentung dalam kebakaran di Jalan Lembaga Padi, Lorong Burung Keleto di Kota Kinabalu hari ini. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Lima mangsa termasuk kanak-kanak berusia tiga tahun rentung dalam insiden kebakaran melibatkan tiga buah rumah yang berlaku di Jalan Lembaga Padi, Lorong Burung Keleto, Likas di sini hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah hari itu, kesemua mangsa yang berusia antara tiga hingga 14 tahun dilaporkan terperangkap dalam rumah yang terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden kebakaran itu pada pukul 12.47 tengah hari dan sepasukan 13 pegawai dan anggota bomba dari BBP Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian.
Pasukan BBP Lintas turut dibantu oleh 14 anggota dari BBP Kota Kinabalu serta enam anggota BBP Putatan.
Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, dilaporkan tiga rumah terlibat dalam kebakaran termasuk sebuah stor dan kedai runcit. Dua buah kenderaan turut terbakar sepenuhnya.
“Terdapat lima mangsa ditemukan rentung dalam rumah yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Joe berkata, tiga daripada mangsa yang rentung itu merupakan adik-beradik berusia antara setahun hingga empat tahun.
Beliau berkata, ibu kepada tiga beradik yang rentung itu sedang sarat mengandung dan menunggu hari untuk melahirkan.
“Ibu mangsa telah dihantar ke hospital bersama dua kanak-kanak lain yang berjaya menyelamatkan diri. Difahamkan ibu mangsa tiga beradik itu membantu menjaga anak-anak jiran.
“Kesemua lima mangsa rentung telah diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Katanya, operasi pemadaman terkawal pada pukul 1.29 petang.


































