Redonah menerima cenderahati daripada Nurul Fadzilah.
KOTA BELUD: Kepimpinan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) diminta melaksanakan gerak kerja turun padang dengan lebih agresif dalam mengenal pasti permasalahan yang dihadapi oleh rakyat di peringkat akar umbi.
Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda berkata, seluruh jentera sepatutnya tidak lagi boleh bersikap selesa dengan pencapaian yang ada kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir.
“Kita mahu semua jentera di seluruh peringkat melipat ganda gerak kerja mereka supaya kita lebih dekat dengan rakyat selain mengenal pasti apa masalah atau isu yang ada.
“Kita tidak mahu apabila PRN nanti baru semua mahu bekerja mencari rakyat, kita jangan menjadi seperti pembangkang yang mencari pengundi secara bermusim ketika pilihan raya sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Mesyuarat Tahunan Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Tempasuk di Dewan Serbaguna Kampung Taun Gusi, di sini, kelmarin.
Hadir sama Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Tempasuk, Nurul Fadzilah Noordin, Ketua-ketua Wanita komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Likas, Halizah Din dan ahli-ahli Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Tempasuk.
Redonah berkata, jentera pilihan raya juga perlu memastikan kemenangan kekal kepada calon Gagasan Rakyat yang disandang sekarang ini.
“Kita mesti pertahankan DUN Tempasuk pada PRN ke-17 yang akan datang. Kita mesti saling bekerjasama sebagai satu pasukan Wanita, Pemuda dan Beliawanis bukan sahaja kemenangan tetapi juga menambah undi yang sedia ada.
“Bagi mencapai hasrat itu, jentera Wanita perlu memperkasakan program-program mendekati rakyat selain melakukan proses tambah nilai dalam setiap gerak kerja,” katanya.
Beliau turut menyarankan agar kepimpinan Wanita Gagasan Rakyat termasuk di peringkat bahagian dan cawangan supaya kekal mengukuhkan semangat solidariti dan jati diri antara satu sama lain.
Katanya, generasi muda juga perlu didekati dengan menggunakan pendekatan-pendekatan yang sesuai dengan masa kini.
“Zaman sudah berubah dan kaedah untuk berhubung serta mendekatkan diri dengan generasi muda juga perlu seiring dengan perubahan supaya sebarang tindakan akan lebih berkesan dan mencapai matlamat.


































