James menerima cenderakenangan disampaikan Ketua Wanita Gagasan Rakyat Bahagian Sugut, Rinah Doing.
PAITAN: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib yang juga ADUN Sugut mengumumkan penubuhan Tabung Pendidikan DUN Sugut untuk membantu pelajar di kawasan ini melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
“Pada hari ini saya mengumumkan penubuhan sebuah Tabung Pendidikan Dewan Undangan Negeri Sugut (Tabung Pendidikan DJR) di mana saya melihat tabung ini sangat penting terutama sekali bantuan kepada anak-anak yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA dan IPTS.
“Kebanyakan mereka ini berasal dari luar bandar yang kurang berkemampuan untuk melunaskan pembayaran-pembayaran awalan untuk melanjutkan pelajaran mereka ke institusi berkenaan.
“Apabila saya melihat perkara ini sangat penting, dan kemampuan ibu bapa yang terhad, maka saya telah menubuhkan tabung ini untuk membantu rakyat saya terutama sekali ahli-ahli PGRS di Dun Sugut,” katanya.
Menurut James, tabung yang akan dimulakan pada tahun 2025 ini akan bermula dengan dana sebanyak RM100,000 yang disediakan khas bagi tujuan tersebut.
“Kita telahpun melantik anggota-anggota jawatankuasa yang ditugaskan untuk mengenal pasti pelajar-pelajar yang memerlukan bantuan ini,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sugut di sini hari ini.
Seramai 193 perwakilan menghadiri mesyuarat itu.
James berharap semua Ketua-ketua Cawangan memastikan ahli-ahli mereka benar-benar ikhlas dan setia kepada perjuangan Gagasan Rakyat yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, selaku Presiden parti.
“Kita tidak mahu ramai ahli cawangan tetapi tidak berkualiti. Apa yang kita mahu, walaupun sedikit ahli cawangan, tapi meteka berkualiti, setia dan bertanggungjawab kepada parti,” katanya.
Apabila datangnya pilihan raya negeri (PRN) nanti, beliau mahu mereka ini benar-benar mengundi Gagasan Rakyat.
“Apa yang kita mahu elakkan ialah situasi di mana apabila menjelangnya pilihan raya, para Ketua Cawangan tidak mampu mengawal ahlinya.
“Ketua Cawangan perlu pastikan semua ahli di bawah cawangannya itu mengundi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN yang akan datang kelak,” jelas beliau.
































